Rakyat beri reaksi berbeza di laman sosial
Kuala Lumpur: Rancangan kerajaan menghapuskan mekanisme kutipan tol lebuh raya dan digantikan dengan caj kesesakan pada waktu puncak selama enam jam sehari, mendapat reaksi pelbagai daripada pengguna Facebook dan Twitter BH.
Menerusi tinjauan pendapat dalam tempoh tiga jam di kedua-dua platform media sosial itu, lebih 6,000 netizen memberi maklum balas dengan majoriti bersetuju dengan mekanisme kadar tol yang baharu.
Setakat jam 7 malam, seramai 3,268 daripada keseluruhan responden bersetuju dengan pelaksanaan caj kesesakan, yang akan menggantikan kutipan tol di empat lebuh raya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, 2,830 netizen tidak setuju dengan rancangan itu dan mereka tampil dengan pelbagai cadangan.
Tambah baik pelaksanaan
Seorang pengguna media sosial, Ezuan Persona, menyatakan sokongan terhadap rancangan itu tetapi mencadangkan ia ditambah baik untuk memanfaatkan lebih ramai pengguna.
“Sokong untuk penambahbaikan. Fikir macam orang bertamadun, bukan mencemuh,” katanya.
Mohd Najib Nizal Nawi pula berpendapat, semua tol perlu dimansuhkan seperti yang dijanjikan kerajaan di dalam manifesto.
Dalam pada itu, ramai juga netizen yang tidak menyokong rancangan kerajaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak efektif menurunkan kos hidup pengguna, kerana majoriti melalui lebuh raya berkenaan pada waktu puncak, justeru mereka tetap dikenakan kadar tol sama.
Bagi Jacob Escobar, pengecualian kadar tol pada jam 11 malam hingga 5 pagi tidak berkesan kerana tidak ramai yang menggunakan lebuh raya ketika itu.