Sukan tradisi kian malap
Langkah proaktif perlu semarakkan semula takraw
Mengikut data terkini hanya terdapat tidak sampai 5,000 pemain yang bergiat aktif di 120 sekolah di seluruh negara.
Jumlah berkenaan sangat kecil berbanding lima juta bilangan keseluruhan murid dan pelajar di 10,180 sekolah rendah serta menengah di seluruh negara.
Semakin malap
Jika dikaji secara mendalam sebenarnya banyak masalah yang menyebabkan sukan ini seperti tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’.
Salah satu faktor kerana sukan ini sebenarnya tidak menjamin masa depan yang menyebabkan ramai yang enggan membabitkan diri selain kejohanan yang kurang dan hadiah kemenangan yang tak setimpal.
Malah, sikap persatuan negeri dan badan induk yang saling menuding jari, berbalah sesama sendiri serta melepaskan tanggungjawab masing-masing dalam membangunkan sukan itu turut menjadi punca.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan acara sepak takraw daripada Program Sukan Teras di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) mulai tahun lalu, sekali gus menyebabkan peruntukan untuk pembangunan peringkat akar umbi semakin malap atau tiada langsung kecuali hanya di sekolah tertentu sahaja.
Lebih menyedihkan lagi sehingga kini sukan ini masih belum memiliki akademi latihan dan stadium sendiri yang boleh dibanggakan.
Sudah sampai masanya kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), ahli gabungan dan MSN duduk bersama untuk mencari jalan dalam menghidupkan dan menyemarakkan semula sukan tradisi ini supaya tidak ‘pupus’.