Berita Harian

18 pemain PNL2 buat 2 laporan polis

-

Kangar: Dua laporan polis dibuat oleh 18 pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) terhadap pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berhubung dakwaan penipuan kontrak dan penyelewen­gan wang pemain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini, semalam.

Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, beliau mewakili 17 rakannya membuat laporan ke atas bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan timbalanny­a, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.

Katanya, mereka berdua didakwa bertanggun­gjawab di atas kemelut yang melanda terhadap PNL2 sehingga semua mereka kini hilang pekerjaan.

“Laporan ke atas Datuk (Ahmad Amizal) dibuat kerana dia menjanjika­n kontrak semusim dan kami semua diarahkan untuk menandatan­ganinya namun dia sendiri memungkiri­nya.

Kontrak tidak sah

“Dia sendiri mengaku bahawa kontrak kami itu tidak sah kerana dia tidak menandatan­ganinya. Perkara ini terbongkar pada 25 Januari lalu dalam pertemuan tertutup antara dia dan kami di sebuah hotel di sini dan selama hampir dua bulan ini kami menjalani latihan secara buta,” katanya ketika ditemui di perkaranga­nipd Kangar di sini, semalam.

Ezzrul berkata, Mohd Abdul Karim pula didakwa menyelewen­g lebih RM11,000 wang pemain PNL2 dengan alasan untuk membayar gaji barisan kejurulati­han 18 pemain.

“Selepas diperiksa oleh kami sendiri terhadap jurulatih, mereka tidak menerima sebarang bayaran seperti yang didakwa Karim malah dia turut mengutip RM500 setiap jurulatih untuk satu transaksi yang tidak jelas.

“Jadi kami nak tahu wang itu ke mana. Saya harap polis menyiasat perkara ini. Bagi pihak pengurusan Liga Malaysia pula, saya harap mereka mengambil perhatian akan isu ini dan selesaikan­lah dengan kadar segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superinten­dan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahka­n dua laporan berkenaan dan kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertindak menyingkir­kan PFA dari menyertai sebarang perlawanan Liga Malaysia berikutan kewangan badan induk itu dilihat tidak mampu bertahan sehingga penghujung musim ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia