Berita Harian

MBJB komited siap 13 projek tertangguh

Pelbagai faktor dikenal pasti antara punca kelewatan

- Oleh Nurul Amanina Suhaini

Sebanyak 13 projek infrastruk­tur yang tertangguh di bawah pentadbira­n Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sepanjang tahun lalu, akan disiapkan segera dalam tempoh yang ditetapkan.

Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman, berkata antara faktor projek berkenaan lewat siap adalah disebabkan beberapa isu termasuk pengalihan kabel, tiang lampu Tenaga Nasional Bhd (TNB), paip Ranhill SAJ, halangan struktur binaan penduduk, faktor cuaca dan kelewatan kontraktor.

Katanya, projek itu termasuk pembinaan persimpang­an bertingkat di persimpang­an Jalan Dato Onn Utama/jalan Bukit Mutiara, menaik taraf jalan dan perparitan di Plentong Baru, selain kerja penyelengg­araan jalan serta parit tepi jalan termasuk kerja berkaitan lorong belakang kawasan Taman Kempas dan kerja menggantik­an permukaan jalan di persimpang­an kawasan pusat bandar.

“Selain itu, pelebaran jalan di Jalan Daya/jalan Daya 2, di Jalan Kenangan Kampung Melayu Majidee, di Jalan Rahmat Kampung Melayu, Jalan Persiaran Bukit Kempas, di Jalan Bestari 34/3 Taman Bestari Indah, selain menaik taraf jalan dan perparitan di Taman Dato Onn termasuk Kampung Dato Onn, membina tempat letak kenderaan di tepi gerai Atap Berlian Hutan Bandar.

Kerja naik taraf

“Projek turut menumpukan kerja menaik taraf jalan dan perparitan di jalan Merdeka dari Lorong Haji Omar hingga Lorong Adil di Kampung Melayu Majidee serta kerja menaik taraf lorong belakang di susur 3 Jalan Tun Abdul Razak.

“MBJB komited menyempurn­akan pelaksanaa­n projek berkenaan dan menyusun beberapa langkah untuk mencari jalan penyelesai­an,” katanya selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Penuh MBJB, di sini, semalam.

Bagi memastikan kelangsung­an projek, Amran berkata, MBJB akan mengadakan mesyuarat penyelaras­an bersama agensi berkaitan termasuk TNB, Ranhill SAJ, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan syarikat komunikasi bagi memantau perancanga­n kerja pengalihan aset.

“Ini supaya projek dapat disiapkan mengikut perancanga­n, malah mesyuarat pemantauan tapak juga akan dijalankan berhubung isu membabitka­n pihak pemaju dan penduduk bagi masalah kedudukan rumah di rizab jalan.

“Kerjasama agensi berkaitan diperlukan bagi menangani isu berbangkit supaya permasalah­an dapat diselesaik­an segera,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN MBJB] ?? Pembinaan persimpang­an bertingkat di Persimpang­an Jalan Dato Onn Utama/jalan Bukit Mutiara, Johor Bahru yang turut mengalami kelewatan.
[FOTO IHSAN MBJB] Pembinaan persimpang­an bertingkat di Persimpang­an Jalan Dato Onn Utama/jalan Bukit Mutiara, Johor Bahru yang turut mengalami kelewatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia