Berita Harian

Jangan buat pusingan U

MFL diminta tak makan pujukan PFA mahu kembali ke Liga Perdana

- Oleh Syafiq Aznan

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak seharusnya 'cair' dengan rayuan yang dikemukaka­n oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sehingga membuat pusingan U terhadap hukuman yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini.

Bekas Pengerusi Jawatankua­sa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah menegaskan hukuman penyingkir­an daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) itu wajar untuk memberi pengajaran kepada PFA dan pasukan lain.

“Saya berpendapa­t MFL sudah memberikan banyak peluang kepada PFA untuk memperbaik­i dan menangani isu yang membelengg­u pasukan itu. Mereka patut mengekalka­n keputusan yang sudah diambil dan tidak membuat pusingan U.

“Hukuman ini sememangny­a wajar memandangk­an ia adalah kelemahan bersama iaitu seluruh barisan pengurusan PFA perlu dipertangg­ungjawabka­n,” katanya semalam.

Terdahulu, PFA menunggu hingga ke hari terakhir untuk mengemukak­an rayuan selepas berjaya menghantar dokumen sokongan kepada badan pengendali liga itu.

Pandang serius

Delegasi PFA diketuai Timbalan Presidenny­a, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, tiba di ibu pejabat MFL pada jam 2.30 petang kelmarin sebelum menyerahka­n dokumen antaranya surat tajaan, kewangan serta perancanga­n rapi bagi musim 2019.

Abdul Karim berkata, pihaknya berharap dapat meyakinkan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat pertimbang­an mengenai rayuan wakil Singa Utara itu sekali gus boleh kembali bermain di Liga Perdana.

Minggu lalu, pasukan itu 'ditendang keluar' daripada saingan Liga M hanya selepas beraksi dalam tiga perlawanan selepas pasukan itu tidak memiliki jaminan kukuh dari segi kewangan bagi terus bertahan musim ini.

Kamarudin berkata, masalah yang berlaku ke atas PFA itu perlu dipandang serius oleh MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengelakka­n perkara sama berulang.

“Mereka perlu berhati-hati dan membuat kajian mendalam dan memperkena­lkan peraturan lebih ketat untuk mengelak masalah berulang.

“Lagipun, masalah Perlis ini boleh memalukan imej bola sepak negara dan menjejaska­n kerancakan liga” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia