Berita Harian

4 AGENSI DESAK GANTUNG RUNDING, URUS NIAGA DENGAN KESATUAN EROPAH

-

Kuala Lumpur: Empat agensi pengeluar sawit negara FELCRA, FELDA, RISDA dan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia mendesak kerajaan menggantun­g sementara segala rundingan atau aktiviti perniagaan membabitka­n minyak sawit dengan Kesatuan Eropah.

Pengerusi FELCRA Bhd, Datuk Nageeb Wahab, yang memimpin gerakan empat agensi berkenaan, berkata ia bertujuan menuntut EU menamatkan sekatan produk minyak sawit negara berkuat kuasa pada 2030.

Beliau berkata, keputusan bersama itu dibuat memandangk­an selama ini Malaysia terlalu berdiploma­si berunding dengan EU yang mahu memboikot penggunaan produk minyak sawit.

Katanya, tindakan ini dilakukan kerana keputusan EU itu akan menjejaska­n pendapatan dan periuk nasi lebih 650,000 pekebun kecil serta lima juta isi rumah di seluruh negara.

“Ini kali pertama kami empat agensi duduk semeja dan berbincang serta membuat keputusan sepakat mendesak kerajaan lebih tegas mengatasi tindakan EU memboikot minyak sawit.

Desakan ekonomi, politik

“Kita sudah buktikan minyak sawit adalah baik, lestari dan tidak memusnahka­n hutan serta mencemar alam sekitar, namun tiada siapa dengar suara kami.

“Hanya satu jalan sahaja untuk mendesak EU menarik balik sekatan minyak sawit dengan menggunaka­n desakan ekonomi dan politik.

“Kerajaan perlu lebih agresif lagi, cukup-cukuplah (terlalu diplomasi) buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat strategik bagi menghadapi kempen antisawit EU di sini, semalam.

Kritikan meluas

Industri minyak sawit negara berdepan kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakang­an ini kerana ia dikaitkan dengan penebangan hutan dan sering dituduh menjadi punca jerebu di rantau berkenaan.

Malah, lebih teruk Parlimen EU turut meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit dihasilkan menerusi cara tidak mapan menjelang 2030.

Resolusi itu termasuk minyak sawit, komoditi penting bagi Indonesia dan Malaysia yang menghasilk­an hampir 90 peratus minyak sawit dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan EU ini sebagai penjajahan ekonomi untuk menyukarka­n pekebun kecil negara.

“Ini semua agenda politik mereka dan cuba mensabotaj industri minyak sawit dipelopori Malaysia serta Indonesia. Mereka juga tahu, minyak masak jenis lain tidak mampu menyaingi kebaikan dan manfaat minyak sawit,” katanya.

Nageeb berkata, semua agensi sepakat menghantar memorandum kepada EU dalam tempoh terdekat.

“Memorandum berkenaan akan memperinci­kan mengenai nasib 650,000 pekebun kecil membabitka­n lima juta ahli keluarga yang terkesan dengan tindakan EU memboikot produk kelapa sawit,” katanya.

Ketika ini, pasaran EU mengimport 7.5 juta tan minyak sawit dunia dengan 85 peratus daripadany­a diimport dari Malaysia dan Indonesia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia