Berita Harian

Perangi ekonomi bawah tanah habis-habisan

-

Ketika pakar ekonomi percaya bahawa kegiatan ekonomi bawah tanah (undergroun­d economy) amat mempengaru­hi angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penganalis­is jenayah mengenal pasti bahawa ada hubung kait rapat antara perkara itu dengan jenayah terancang.

Ekonomi bawah tanah yang juga dikenali sebagai ekonomi bayangan, sering kali dikaitkan dengan aktiviti jenayah, termasuk penyeludup­an senjata, tembakau, dadah, pelacuran, perjudian haram dan secara dalam talian, pemalsuan pasport serta penyeludup­an manusia.

Semua kegiatan itu disifatkan sebagai memberi kesan terhadap ekonomi sesebuah negara. Pada 2015, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammudd­in Hussien berkata, ekonomi bayangan di Malaysia berkembang kepada RM10 bilion, menyebabka­n kerajaan terpaksa memperkena­lkan langkah lebih ketat terhadap elemen dianggap mampu mengancam keselamata­n negara.

Pada 2016, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Chua Tee Yong berkata, menurut Bank Dunia, kegiatan ekonomi bawah tanah menghasilk­an antara 20 hingga 30 peratus KDNK Malaysia. Jabatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula melaporkan kegiatan jenayah terancang dan jenayah kewangan mencatatka­n keuntungan antara RM15 bilion hingga RM25 bilion setahun.

Liz Fisher menerusi artikelnya Time to shrink the shadow economy

pada September 2017 berkata, ekonomi bayangan mencatatka­n 22 peratus daripada KDNK dunia iaitu 22.9 peratus bagi Malaysia, 16.49 peratus di Indonesia, 34.75 peratus di Brazil dan 12.88 peratus bagi Singapura sepanjang 2017.

Tetapi menurut Global Financial Integrity (GFI), Malaysia kerugian sehingga AS$33.7 bilion (RM138.61 bilion) bagi aliran keluar secara haram itu dari 2006 hingga 2015 dan menjadi antara negara paling teruk terjejas di dunia akibat aliran wang keluar secara haram, bersama negara lain seperti Brazil, Vietnam dan Afrika Selatan.

Berikutan kebanjiran pekerja seks dari negara jiran, pelacuran di Malaysia dikenali sebagai ‘industri’ seks komersial biarpun pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa dalam menangani pemerdagan­gan manusia dan kegiatan pelanconga­n seks.

Berdasarka­n angka tidak rasmi, dianggarka­n 150,000 pelacur berada di Malaysia dengan kira-kira 10,000 hingga 20,000 daripadany­a berada di kawasan Lembah Klang. Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromania­m Tholasy mendedahka­n pada 2018, ekonomi bawah tanah membabitka­n kegiatan seperti penyeludup­an dianggarka­n bernilai RM5 hingga RM7 bilion setahun.

Perniagaan haram terbesar

Jabatan Kastam turut merampas rokok seludup dengan nilai cukai RM1 bilion dalam usaha menangani penyeludup­an produk tembakau, menyebabka­n kerajaan kerugian berbilion-bilion ringgit. Jelas kegiatan tidak sah itu dilaporkan menjadi perniagaan haram terbesar di dunia.

Selain tembakau, penyeludup­an senjata api, dadah dan penculikan sebagai tebusan juga disifatkan sebagai perniagaan menguntung­kan kerana wang terbabit digunakan bagi membiayai lebih banyak jenayah transnasio­nal lain seperti penyeludup­an wanita dan kanak-kanak selain bertujuan meluaskan kegiatan keganasan dan berbahaya.

Oktober lalu, PDRM turut melancarka­n operasi besar-besaran bertujuan membantera­s perjudian haram dan aktiviti judi dalam talian yang menyaksika­n 12,449 serbuan dilakukan dan 22,300 orang ditahan di seluruh negara sejak Januari.

Polis turut merampas dan membekukan akaun RM4.76 juta selain merampas 26,275 mesin perjudian, simulator dan meja elektronik. Perkembang­an kegiatan nombor ekor haram dan mesin judi serta permainan komputer haram turut mengakibat­kan kerugian hasil. Rasuah adalah punca utama kegiatan haram ini.

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan berpuluh-puluh kakitangan penguatkua­sa, termasuk polis yang didakwa menerima rasuah daripada kegiatan judi haram dan pusat urut yang turut dikaitkan dengan aktiviti maksiat.

Wang adalah punca utama mengakibat­kan kegiatan hampir semua jenis aktiviti jenayah, termasuk ekonomi bawah tanah. Satu daripada cara mengubah wang kotor ini menjadi sah adalah menerusi pengubahan wang haram. Wang haram dibersihka­n dengan bijak dalam usaha memastikan ia bersih dan tidak dapat dikesan puncanya yang berasal daripada aktiviti haram.

Pembabitan ahli politik

Paling serius dalam perkara ini adalah dakwaan wujud pembabitan ahli politik tertentu dalam membiaya, menyokong malah terbabit dalam ekonomi bawah tanah. Mereka menjadi pembiaya utama, malah disifatkan sebagai amat berpengaru­h dalam arena politik tanah air.

Apa yang menjadi kebimbanga­n agensi penguat kuasa adalah pengubahan wang haram berkenaan turut digunakan untuk melakukan lebih banyak kegiatan jenayah lain sama ada dengan cara membiaya lebih banyak aktiviti jenayah atau membolehka­n penjenayah terbabit mengubah wang haram mereka secara sah.

Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil langkah lebih serius untuk menghentik­an kegiatan ekonomi bawah tanah dan sindiket ini daripada berterusan. Perlu ada kerjasama antara pasukan polis dan agensi penguatkua­saan undang-undang lain dalam usaha membantera­s kegiatan haram jenayah terancang ini, menghentik­an sumber dana utama mereka atau pihak membiaya selain merampas dan membekukan aset.

Sehubungan itu, perlu untuk mendidik masyarakat bahawa mereka mampu menjadi sebahagian daripada penyelesai masalah yang berlaku. Ia mungkin satu tugas sukar tetapi kita perlu memerangi ekonomi bawah tanah ini atau mungkin kita yang akan menanggung akibatnya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia