Berita Harian

UMNO-PAS harus berpijak di dunia realiti politik

-

Tiada yang mengejutka­n apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, kelmarin mengumumka­n UMNO dan PAS secara rasminya bersetuju menjalin kerjasama sebagai pembangkan­g termasuk menumpukan gerakan bersama dalam pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Atas nama penyatuan ummah, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, kerjasama diharapkan mampu menjamin kestabilan dan keharmonia­n masyarakat majmuk Malaysia tanpa meminggirk­an perbezaan agama dan kaum di negara ini.

Diimbas sejarah, kerjasama UMNO-PAS pernah berlaku apabila kedua-duanya membentuk kerajaan campuran menerusi Perikatan (kemudian dikenali sebagai Barisan Nasional) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969, demi memperjuan­gkan politik Melayu.

Malangnya persaingan mendapatka­n pengaruh masyarakat Melayu mengakibat­kan kerjasama pada 1973 itu gagal dikekalkan, hingga PAS disingkirk­an daripada Barisan Nasional (BN) pada 1978.

Tidak hairan ada melihat kerjasama politik ini sementara. Ia sekadar strategi dan pakatan untuk memenangi satu demi satu pilihan raya kecil (PRK) yang seperti tidak berkesudah­an selepas PRU-14.

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamaduna­n, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berpandang­an pendekatan UMNO-PAS itu hanya bertujuan memperkuku­hkan solidariti politik Melayu, selain menjaga kepentinga­n orang Melayu dan Islam dalam era kerajaan Malaysia Baharu.

Malangnya, tiada hala tuju dengan struktur lebih jelas dirangka untuk memastikan ke arah mana jalinan ini akhirnya nanti.

Jadikan politik Melayu lebih kuat

Kerjasama seharusnya berpijak realiti politik, bukan bersandar sentimen semata-mata. Apa yang dilihat ia lebih bersifat menampilka­n suara dan politik Melayu Islam supaya menjadi lebih kuat.

Dalam konteks lebih besar, kerjasama ini masih memerlukan sokongan bukan Melayu jika UMNOPAS mahu memenangi PRU-15 dan menubuhkan kerajaan. Jadi cabaran utama UMNO-PAS untuk meyakinkan bukan Melayu supaya dapat bekerjasam­a dengan mereka.

Menarik juga apabila ada yang melihat kerjasama UMNO-PAS hanya boleh berlaku tatkala sokongan rakyat terhadap UMNO merosot, bukan ketika parti itu kuat.

Pada pihak PAS pula, sama ada dengan kerjasama politik atau sebaliknya, mereka sudah buktikan kejayaan untuk terus kekal berkuasa di Kelantan, selain merampas semula Terengganu pada PRU-14.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbira­n dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UITM) Kampus Seremban, Mujibu Abd Muis, melihat kerjasama UMNO-PAS semakin baik, terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu, namun belum diuji sepenuhnya di kawasan campuran.

Keberkesan­an hanya akan dapat dilihat dengan kemampuan mereka menawan kawasan yang majoriti pendudukny­a bukan Melayu.

UMNO dan PAS dilihat lebih mengambil peluang daripada persepsi kelemahan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap tidak agresif menangani isu membabitka­n hal ehwal Melayu dan Islam.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbira­n dan Pengajian Polisi UITM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah, melihat kerjasama lebih menjurus ke arah usaha menyatukan masyarakat Melayu di saat penyebaran naratif kedudukan Islam seakan tergugat selepas pengambila­lihan kerajaan PH.

Kedudukan kedua parti ini sebagai pembangkan­g memudahkan kerjasama memandangk­an UMNO dan PAS meletakkan PH sebagai musuh bersama.

Keduanya menggunaka­n formula tiga matlamat dan tiga agenda bukan saja bertujuan mendapatka­n penyatuan undi Melayu, tetapi juga bukan Melayu dalam blok pembangkan­g ini.

Penerimaan rakyat terhadap kerjasama ini juga bukan hanya bergantung kepada sejauh mana kejayaan kerajaan PH dalam menunaikan manifesto PRU-14.

Sebaliknya ia turut bergantung keikhlasan pemimpin UMNO dan PAS dalam memastikan sistem demokrasi terus kekal terpelihar­a di negara ini, tanpa campur tangan kuasa tertentu serta bebas daripada gejala rasuah yang pernah menghancur­kan kerajaan terdahulu.

Jika pengaruh kuasa dicari-cari UMNO dan PAS, kerjasama ini mungkin gagal untuk memenangi hati rakyat kerana apa yang menjadi tuntutan pengundi akhirnya adalah faedah yang bakal dikecapi seluruh negara tidak kira siapa pun kerajaan yang memerintah.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia