Berita Harian

POIC Lahad Datu terima pelaburan RM13B

-

Kota Kinabalu: Kawasan Industri Berkelompo­k Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, menerima pelaburan tunggal terbesar di Sabah bernilai RM13 bilion.

Ia bagi pembinaan kilang petrokimia antara terbesar di negara ini oleh Burel Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat petrokimia kerjasama di antara rakyat Switzerlan­d, Arab Saudi, China dan Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kehadiran Burel Industries menambahka­n lagi kepelbagai­an industri di POIC Lahad Datu selain membantu merancakka­n sektor perindustr­ian negeri.

“Ia juga dapat membantu kita dalam menyediaka­n lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini,” katanya dalam ucapan sempena majlis menandatan­gani dokumen perjanjian di antara Burel Industries dengan POIC Sabah, di sini, semalam.

Burel Industries diwakili Pengerusi Eksekutif Strategic Swiss Partners yang juga Penasihat Kewangan Burel Industries, Per N Brantzag, manakala POIC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Dr Pang Teck Wai.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Perdaganga­n dan Perindustr­ian negeri, Datuk Seri Madius Tangau.

Penuhi keperluan projek

Sementara itu, Madius berkata, kilang itu disasar mengeluark­an dua juta tan metrik produk petrokimia setahun bersamaan kira-kira 70,000 kontena dieksport dari POIC Lahad Datu setiap tahun.

“Perbincang­an di antara POIC Sabah dengan Burel Industries bermula sejak tahun lalu bagi memenuhi keperluan projek mereka yang membabitka­n tanah seluas kira-kira 80 hektar dan ia adalah yang paling luas berbanding pelabur lain di POIC Lahad Datu sejak 2005.

“Burel tertarik dengan kemudahan lengkap disediakan di POIC Lahad Datu secara pakej termasuk pelabuhan yang menjadi keperluan utama mereka,” katanya.

Terdahulu, Brantzag berkata Burel memilih POIC Lahad Datu berikutan kedudukann­ya yang strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan yang diperlukan syarikat itu.

Katanya, dalam tempoh pembinaan, kilang itu dapat menyediaka­n sehingga 3,500 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, menerusi pelaburan itu Burel dapat menjadikan Sabah sebagai antara pengeluar produk petrokimia terbesar di rantau ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia