Berita Harian

Tak bantah pindah kes ke Mahkamah Tinggi

-

Kuala Lumpur: Pasukan pembelaan bagi perbicaraa­n kes pecah amanah wang kerajaan berjumlah AS$12.1 juta dihadapi bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan untuk memindahka­n kes ke Mahkamah Tinggi.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Hasanah, memberitah­u demikian kepada wakil media selepas pengurusan kes dilakukan dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Fazura Mohd Saad, di sini semalam.

Berikutan itu, beliau berkata, permohonan tarikh pendengara­n kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada 15 Mac ini.

Lantik hakim tiada kaitan 1MDB

“Bagaimanap­un, pihak pembelaan menerusi permohonan lisan memaklumka­n kepada mahkamah untuk melantik hakim Mahkamah Tinggi yang tidak berkaitan dengan kes 1Malaysia Developeme­nt Berhad (1MDB) kerana kes anak guam kami tiada kaitan dengan kes 1MDB yang difahamkan turut dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi.

“Jadi, pelantikan hakim akan dirujuk kepada Mahkamah Tinggi atau Hakim Besar Malaya untuk pentadbira­n kes seterusnya,” katanya sambil menambah, pihak pembelaan akan turut membuat permohonan bertulis dan lisan mengenai permohonan itu pada 15 Mac ini.

Oleh itu, beliau berkata, semua fail berkaitan kes berkenaan akan turut dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi.

Pada 21 Februari lalu, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhd Ilmami Ahmad memfailkan notis usul untuk memindahka­n prosiding ke Mahkamah Tinggi.

Hasanah, 61, mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018 atas tuduhan, sebagai penjawat awam, iaitu Ketua Pengarah Penyelidik­an Jabatan Perdana Menteri (JPM), melakukan pecah amanah AS$12.1 juta milik kerajaan di pejabatnya di Putrajaya, di antara 30 April dan 9 Mei tahun berkenaan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

 ?? [FOTO ASWADI ALIAS/BH] ?? Mohd Khairul Azam bersama wakil media di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO ASWADI ALIAS/BH] Mohd Khairul Azam bersama wakil media di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia