Berita Harian

17 rakyat kita terkandas tiba hari ini

Rombongan PINTA pulang berasingan guna pesawat Emirates

-

Seramai 17 anggota rombongan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) yang terkandas hampir seminggu di Pakistan, dijangka tiba di tanah air hari ini.

Semua mereka yang sepatutnya kembali ke tanah air pada 28 Februari lalu selepas lawatan kerja ke Wifaqul Madaris Pakistan, terkandas selepas Pakistan menutup ruang udaranya berikutan ketegangan dengan India ekoran insiden ketenteraa­n di sempadan keduadua negara.

Bagaimanap­un, ruang udara Pakistan dibuka sepenuhnya sejak Isnin.

Pengerusi PINTA Sabah, Samsuali Marulla yang juga anak jati Lahad Datu, berkata mereka akan kembali ke Malaysia secara berasingan menggunaka­n penerbanga­n Emirates Arlines.

“Alhamdulil­lah sekarang kami berada di Karachi, semua rombongan sihat dan selamat. Semalam (kelmarin) kami keluar dari bandar Lahore (difahamkan Lapangan Terbang Lahore belum beroperasi), kami menaiki kereta api Green Line Express selama 16 jam perjalanan.

“Setakat 12 tengah hari tadi (semalam), lima anggota rombongan menaiki Emirates Airlines bertolak ke Dubai, manakala penerbanga­n seterusnya ke Dubai pada jam 7.35 malam (10 orang) dan jam 10.50 malam (dua orang) dan kami (dipecah dua kumpulan) dijangka bertolak ke Malaysia esok (hari ini),” katanya.

Guna pesawat berkecuali

Beliau yang dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, semalam, berkata Kedutaan Malaysia di Islamabad menasihatk­an agar rombongan PINTA mencari penerbanga­n yang tidak melintasi ruang udara konflik dan menggunaka­n pesawat berkecuali.

Lawatan bermula pada 23 Februari dan diketuai Presiden PINTA Kebangsaan, Zahid Mahmood itu bertujuan mengkaji secara langsung sistem pengajian tahfiz di Pakistan agar dapat diserapkan dalam Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

Sementara itu, Samsuali berkata, ketika terkandas anggota rombongan menginap di hotel kawasan Lahore yang dikawal rapi tentera Pakistan sebelum berpindah di Jamiah Islamiah Raiwind Lahore dan seterusnya ke Pejabat Wifaqul Madaris di Karachi.

“Pihak Wifaqul Madaris membantu menjaga keselamata­n kami selama berada di sini, selain menyediaka­n tempat penginapan serta makan. Kami turut mendapat bantuan dari masyarakat setempat,” katanya.

Setakat kelmarin, dilaporkan 44 rakyat Malaysia masih terkandas di Pakistan sejak 27 Februari lalu .

Ketegangan di antara dua kuasa nuklear New Delhi dan Islamabad meruncing sejak serangan pengganas Jaish-e-mohammed (JEM) di Pulwana, India pada 14 Februari lalu dan mengorbank­an lebih 40 orang serta mencederak­an puluhan lagi.

 ?? [FOTO AFP] ?? Rakyat Pakistan membawa replika peluru berpandu dan mengibar bendera ketika protes anti-india di Karachi.
[FOTO AFP] Rakyat Pakistan membawa replika peluru berpandu dan mengibar bendera ketika protes anti-india di Karachi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia