Berita Harian

Tolak isteri balik kerja naik kerusi roda 5km

Suami berjalan teman pasangan lumpuh separuh badan setiap hari

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Waktu pagi setiap hari, Abu Bakar Kasa, 52 tidak pernah jemu menemani isterinya, Norasima Mohd Arif ke tempat kerja dari rumah mereka di Presint 9 ke Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Presint 2.

Dalam tempoh waktu itu itu, Abu Bakar setia menunggu di lobi kementeria­n berkenaan kerana Norasima, 51 menggunaka­n kerusi roda elektrik selepas lumpuh separuh badan, sekali gus memerlukan bantuan untuk bergerak, terutama ke tandas.

Selepas habis waktu kerja, Abu Bakar menolak kerusi roda isterinya ke rumah mereka sejauh lima kilometer.

Begitulah rutin Abu Bakar selepas membuat keputusan berhenti kerja sebagai pemandu teksi semata-mata mahu menumpukan penjagaan isterinya yang lumpuh sejak 2011.

Katanya, selepas disahkan lumpuh separuh badan, Norasima bercuti setahun dan bekerja semula pada 2012 sehingga kini dan pada waktu itu, isterinya menggunaka­n kerusi roda biasa bukan elektrik.

Menurutnya, pihak Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) kemudian memberikan bantuan kerusi roda elektrik pada 2013, namun selepas lima tahun digunakan, ia mulai rosak.

Mudahkan pergerakan

“Kerusi roda yang diberikan sebelum ini bukan sahaja digunakan untuk memudahkan pergerakan isteri di tempat kerjanya, tetapi juga sebagai ‘kenderaan’ Norasima untuk pulang dari tempat kerja.

“Pada waktu pagi, dia selalunya akan pergi kerja menggunaka­n teksi ditemani saya, kemudian pada waktu balik sekiranya tidak hujan, kami pulang dengan berjalan sejauh lebih lima kilometer.

“Mungkin sebab terlampau banyak menggunaka­n kerusi roda itu, ia mula rosak sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita pada penyerahan bantuan peralatan kesihatan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAIWP) di rumahnya, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyerahka­n sumbangan berbentuk bantuan kerusi roda elektrik, wang tunai dan lampin dewasa.

Abu Bakar berkata, bantuan kerusi roda elektrik yang lebih canggih oleh MAIWP membolehka­n Norasima berdikari serta memberi lebih masa untuk mencari pekerjaan sampingan.

“Selepas ini saya akan cari kerja lain, mungkin sebagai pemandu Grab. Saya akan beli kereta dan secara tidak langsung akan memudahkan saya menghantar dan mengambil isteri di pejabat.

“Saya pun sedar, selama ini kami terdedah kepada bahaya berjalan kaki di lebuh raya,” katanya.

Sementara itu, Norasima berkata, sumbangan kerusi roda elektrik itu secara tidak langsung dapat membantuny­a menjadi lebih berdikari ketika menjalanka­n tugasnya di KPDNHEP.

Katanya, pihak kementeria­n pernah menyuaraka­n sekiranya keadaan berterusan begini, dia mungkin diberhenti­kan kerana mereka memerlukan pekerja yang dapat memberi komitmen sepenuhnya serta pergerakan yang tidak terbatas.

 ?? [FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR /BH] ?? Fuziah menyampaik­an kerusi roda elektrik dan barangan keperluan kepada Norasima pada majlis penyerahan sumbangan MAIWP di Putrajaya, semalam.
[FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR /BH] Fuziah menyampaik­an kerusi roda elektrik dan barangan keperluan kepada Norasima pada majlis penyerahan sumbangan MAIWP di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia