Berita Harian

‘Jika tiada makanan percuma kami terpaksa ikat perut’

-

Kota Bahru: Wan Jah Hamid bersyukur kerana setiap Ahad dan Rabu dapat merasai nasi bungkus dan minuman percuma untuk dijadikan makan tengah hari.

Bagi warga emas berusia 65 tahun itu yang hidup bersendiri­an, tanpa ada nasi bungkus percuma itu, dia terpaksa ikat perut atau makan sekadar apa yang ada sahaja.

“Mujur ada nasi bungkus percuma ini untuk makan tengah hari, kalau tidak terpaksala­h ikat perut.

“Mak cik bersyukur dengan sumbangan ini, dapatlah juga menampung perbelanja­an harian mengambil upah mengemas rumah orang dengan upah RM20 hingga RM30.

“Kalau ada kerja, adalah wang untuk mak cik membeli makanan, kalau tidak ada, terpaksala­h berjimat cermat, makan apa yang ada. Suami pula sudah lama berpisah,” katanya.

Wan Jah yang berasal dari Kampung Kasar, Pasir Mas adalah antara penerima nasi berlauk dan minuman percuma menerusi Program Makanan Percuma (FFP) di pekarangan pejabat Pusat Penerangan Islam dan Dakwah Antarabang­sa (IIDAC), Taman Hijau, di sini, semalam.

Katanya, dia mengetahui mengenai program agihan makanan percuma itu melalui rakannya yang pernah menerima sumbangan itu sebelum ini.

Tidak mahu susahkan anak

“Anak mak cik 11 orang, tapi mereka pun bukan orang senang, masing-masing ada tanggungja­wab kepada keluarga. Mak cik tidak mahu menyusahka­n mereka,” katanya.

Seorang lagi penerima, Esah Mat, 80, berkata, dia sudah menjadi penerima tetap untuk program makanan percuma itu sejak setahun lalu.

“Setiap minggu, mak cik berulang alik dari Gual Mesa, Rantau Panjang ke Kota Bharu dengan menaiki bas untuk jual ubi di kaki lima Pasar Besar Siti Khadijah.

“Makanan percuma ini diberikan setiap dua hari dalam seminggu dan apabila waktu tengah hari, mak cik akan ke sini untuk mengambil nasi percuma,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi IIDAC, Hassan Husin berkata, dalam program yang diadakan itu, sebanyak 120 bungkus nasi berlauk dan minuman diberikan kepada golongan asnaf di sekitar Kota Bharu.

Katanya, program itu bermula sejak tiga tahun lalu dan pada peringkat awal, pihaknya tidak menyediaka­n makanan dalam jumlah yang banyak kerana bimbang berlakunya pembaziran.

“Namun, lama kelamaan, program ini mendapat sambutan dan ada dalam kalangan penerima adalah orang yang sama, tetapi kami tidak kisah kerana mereka memang golongan yang memerlukan,” katanya.

Katanya, program makanan percuma itu diadakan dua kali seminggu iaitu pada hari Ahad dan Rabu dan memperuntu­kkan sekurang-kurangnya RM600 sehari untuk membeli makanan yang akan disumbangk­an.

 ?? [FOTO ZAMAN HURI ISA /BH] ?? Dari kiri, Wan Jah bersama Rokiah Ismail, Esah dan Rozita Arshad menikmati agihan makanan percuma di pekarangan IIDAC, Kota Bharu, semalam.
[FOTO ZAMAN HURI ISA /BH] Dari kiri, Wan Jah bersama Rokiah Ismail, Esah dan Rozita Arshad menikmati agihan makanan percuma di pekarangan IIDAC, Kota Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia