Berita Harian

Rejab landasan menuju madrasah Ramadan

-

Rejab yang menjelma malam ini, bermakna kita sudah berada di landasan bulan yang menuju ke arah madrasah atau sekolah Ramadan al-mubarak.

Tidak hairanlah sahabat seperti Ibnu Umar RA dan ulama serta ahli sufi, Hasan al-basri dan Sufyan al-tsauri bukan saja memperbany­akkan puasa pada bulan itu, bahkan berpuasa penuh.

Bagaimanap­un amalan puasa penuh itu perlu digandingk­an dengan pandangan Imam Ahmad ibnu Hanbal yang melarang tindakan itu sekiranya individu terbabit tidak biasa berpuasa penuh sebulan.

Larangan itu bertujuan supaya tidak menjejaska­n puasa Ramadan kelak kerana penat dan letih menunaikan­nya sebelum bulan barakah berkenaan menjelma.

Tanpa menafikan wujudnya banyak kategori hadis termasuk berstatus daif atau yang terkeluar hingga tergolong sebagai hadis palsu, amalan berpuasa pada Rejab mempunyai dasar dalam agama.

Uthman ibnu Hakim al-ansari pernah bertanya kepada Said ibnu Jubair, iaitu tabiin (pengikut sahabat Nabi SAW) besar mengenai puasa Rejab ketika mereka memasuki bulan itu.

Kelebihan amalan

Said menjawab bahawa beliau mendengar Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW berpuasa (Rejab) hingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (berpuasa secara terus-menerus) dan Baginda berbuka hingga tidak nampak berpuasa. (HR Muslim)

Dalam menimbang ketika mendengar kelebihan amalan berpuasa pada Rejab, kita perlu mengelak daripada terus menolak dengan melemparka­n tuduhan hadis palsu.

Ini kerana ada ganjaran atau kelebihan itu diucapkan oleh tabiin yang belajar dan bersamasam­a dengan pengikut sahabat Nabi Muhammad SAW hingga meneliti seluruh kehidupan mereka khususnya dalam soal ibadat.

Pada masa sama, sekiranya sesuatu hadis itu bersifat daif, ia masih boleh diamalkan dengan syarat tidak termasuk dalam status lemah yang melampau atau sesuatu amalan itu bersifat fadha’il a’mal (kelebihan beramal).

Hal itu diterangka­n oleh Imam Nawawi dalam kitabnya yang terkenal, al-azkar, selain turut ditegaskan oleh Imam Baihaq dalam Kitab al-madkhal mengenai perbezaan sikap dalam meneliti sanad dan kritikan hadis bergantung kepada persoalan seperti halal-haram atau kelebihan sama ada manusia atau amalan.

Perbanyak ibadah

Malah, umat Islam juga digalakkan memperbany­akkan solat sunat, berzikir dan berdoa seperti yang perlu juga diulangi pada bulan lain.

Selain itu, tilawah dan membaca al-quran juga dilakukan bermula sekarang untuk membina momentum hingga apabila Ramadan sampai, ia boleh dilipat-gandakan lagi untuk mendapatka­n ganjaran besar yang disediakan oleh Allah SWT.

Usaha memperbany­akkan ibadat dalam Rejab ini, lebih bermakna daripada sibuk berdebat dan berpolemik terutama sekiranya hanya semata-mata mahu menimbulka­n kekeliruan dalam masyarakat.

Ini kerana ada kalanya, kita diperdaya oleh syaitan supaya membangkit-bangkitkan sesuatu yang bersifat khilafiah atau diperselis­ihkan dalam agama dengan slogan muluk kononnya menegakkan kebenaran atau mencegah perkara mungkar.

Walhal, syarat kepada orang yang mahu mencegah kemungkara­n adalah sesuatu perkara itu tidak termasuk dalam hukum yang bersifat khilafiah.

Apatah lagi, terlalu banyak debat dan polemik boleh menyebabka­n orang awam meninggalk­an amalan yang mempunyai asas dalam agama itu, sedangkan melakukann­ya dapat mendekatka­n diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting, umat Islam memperbaik­i diri sendiri dengan mendalami ilmu agama dengan cara sebenar dan beramal dengan ilmu yang dipelajari itu, sekali gus berdoa supaya Allah SWT akan mempertemu­kan kita dengan Ramadan yang mulia.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia