Berita Harian

Solari hanya tunggu dipecat

Real terlepas kejuaraan ketiga dalam seminggu selepas disingkir Ajax

-

Santiago Solari menegaskan dia tidak akan meletak jawatan sebagai jurulatih Real Madrid walaupun pasukannya disingkirk­an daripada kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-juara oleh Ajax di sini, kelmarin.

Real tewas 4-1 di laman sendiri dan 5-3 secara agregat sekali gus gagal mara ke suku akhir buat pertama kali sejak 2010.

Ia bermakna mereka sudah disingkirk­an daripada Copa del Rey, pemburuan gelaran La Liga dan kini Eropah dalam tempoh hanya tujuh hari.

Tidak boleh cari alasan

Solari diberikan kontrak hingga 2021 apabila mengambil alih pasukan daripada Julen Lopetegui pada November tetapi kekalahan memalukan bermakna dia mungkin tidak akan menamatkan musim, atau juga tidak melebihi musim panas ini.

“Saya tidak datang ke kelab ini dalam waktu yang sukar hanya untuk menyerah kalah,” kata Solari selepas perlawanan. “Jelas kami sudah berikan semuanya tetapi kami gagal mara.”

Real sudah menang Liga Juara-juara buat kali ketiga berturut-turut tetapi Ajax tidak bernasib baik tewas dalam perlawanan pertama di Amsterdam 2-1 dan berhak menang di Santiago Bernabeu.

“Saya tidak pernah rasa kecewa seperti ini, saya tidak tahu bagaimana untuk menerangka­nnya,” kata pertahanan, Dani Carvajal.

“Dalam seminggu semuanya hilang, dan semuanya selepas perlawanan di laman sendiri. Malam ini kami tidak boleh mencari alasan, mereka lebih baik dan mereka berhak mara.

“Kami ada pasukan muda yang masih boleh meningkat. Sudah jelas, musim kami berakhir tetapi kami akan terus berusaha dalam liga kerana itulah yang kami perlu lakukan dan kami perlu menjadi profesiona­l.” AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia