Berita Harian

POLRI gempur ‘gudang’ kenderaan curi

-

Kuching: Polis Republik Indonesia (POLRI) menyerbu sebuah rumah di Jagoi Babang, Bengkayang di Kalaimanta­n Barat, kelmarin dipercayai dijadikan stor penyimpana­n kenderaan curi dari negeri ini.

Hasil serbuan itu turut membawa kepada penemuan 27 motosikal curi, termasuk sebuah kereta Perodua Myvi, yang dipercayai di seludup masuk ke wilayah jiran itu melalui ‘jalan tikus’ di kawasan sempadan Sarawak - Kalimantan Barat .

Sumber memberitah­u NSTP, serbuan itu adalah bertindak atas maklumat risikan, selain aduan penduduk setempat mengenai kehadiran sejumlah besar motosikal yang mencurigak­an di rumah berkenaan, dengan sebahagian besarnya memiliki nombor pendaftara­n Malaysia.

Yang turut ditahan seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai dalang utama kegiatan berkenaan.

“Hasil siasatan awal tidak menolak kemungkina­n lokasi serbuan itu dijadikan pusat simpanan sementara semua kenderaan curi berkenaan sementara menunggu untuk dijual kepada pelanggan mereka.

“Ada kemungkina­n sebahagian daripada kenderaan terbabit turut dileraikan untuk dijadikan sebagai komponen alat ganti,” katanya.

Antara jenis motosikal dirampas ialah KTM Duke 200, Yamaha R25 dan Benelli.

Semua barang dirampas, termasuk suspek diserahkan kepada Balai Polis Bengkayang untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, POLRI akan berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bagi membantu siasatan kes itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia