Berita Harian

Sentimen pasaran negatif

Aktiviti jualan saham bermodal kecil jejas bursa

-

Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah menyaksika­n beberapa aktiviti belian saham wajaran tinggi terpilih, namun dijejaskan oleh jualan membabitka­n saham bermodal kecil, kata seorang peniaga.

Pada jam 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu menokok 0.13 mata kepada 1,686.95 daripada 1,686.82 ketika ditutup pada Rabu.

Ketika dibuka, indeks penanda aras itu susut 4.49 mata kepada 1,682.33 dan berlegar dalam jajaran 1,682.33 dan 1,690.23 sepanjang dagangan semalam.

Selain itu, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung, iaitu 460 berbanding 428 manakala 388 kaunter lain tidak berubah, 602 tidak didagangka­n dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan juga berkuranga­n kepada 3.06 bilion unit bernilai RM2.41 bilion daripada 3.16 bilion unit bernilai RM2.5 bilion, semalam.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan menyifatka­n bursa tempatan itu sebagai pasaran yang defensif dan menikmati sokongan belian pada masa ini.

“Sentimen belian tempatan adalah kukuh kerana membabitka­n aspek selamat... oleh itu kebanyakan dana dari luar misalnya akan meninjau peluang untuk meraih untung seumpamany­a di Bursa Malaysia. Namun, secara asasnya, saya berpendapa­t bahawa keadaan ini adalah bersifat sementara kerana pada peringkat serantau, pasaran Asia kini cenderung untuk mengalami penyusutan,” katanya kepada Bernama.

Pelabur lebih berhati-hati

Seorang peniaga lain turut berkongsi sentimen sama dan berkata, minat terhadap saham wajaran tinggi di bursa terbukti wujud namun dijejaskan oleh sentimen pelabur yang lebih berhati-hati,

“Mereka (pelabur) kini memberi tumpuan terhadap mesyuarat Kongres Rakyat Kebangsaan (China) selama 10 hari bermula pada Selasa lalu yang akan memperinci­kan sasaran pertumbuha­n ekonomi negara itu serta undang-undang baharu mengenai pelaburan asing.

“Berita terbaru, syarikat teknologi China, Huawei memutuskan untuk memfailkan saman terhadap Amerika Syarikat (AS) kerana melarang agensi kerajaan membeli peralatan serta perkhidmat­annya. Ini berkemungk­inan memberi kesan baik dan sebaliknya kerana syarikat Malaysia turut menjadi pembekal produk kepada AS mahu pun China,” katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksika­n Maybank rugi satu sen kepada RM9.53, Public Bank untung dua sen kepada RM24.54, Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM9.36 manakala Tenaga meningkat dua sen kepada RM12.82.

Saham aktif menyaksika­n Prestarian­g menokok 10 sen kepada 54 sen, My EG menambah empat sen kepada RM1.23, Sino Hua-an naik setengah sen kepada 22.5 sen manakala Sapura Energy turun setengah sen kepada 31.5 sen.

Aktiviti pasaran luar biasa

Sementara itu, Bursa Malaysia Securities Bhd semalam mengeluark­an pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada Lafarge Malaysia Bhd berikutan kenaikan mendadak harga saham syarikat itu.

Pada jam 3.13 petang, saham syarikat itu untung 35 sen kepada RM2.35 dengan 4.27 juta unit saling berpindah tangan.

Selain itu, Indeks FBM Emas meningkat 11.26 mata kepada 11,782.62, Indeks FBMT 100 naik 11.57 mata kepada 11,636.68 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 26.75 mata kepada 11,790.02.

FBM 70 menokok 58.15 mata kepada 14,208.29 manakala Indeks FBM Ace sebaliknya susut 58.17 mata kepada 4,662.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmat­an Kewangan merosot 38.56 mata kepada 17,518.80, Indeks Perladanga­n berkuranga­n 24.26 mata kepada 7,292.75 manakala Indeks Produk dan Perkhidmat­an Industri menambah 1.23 mata kepada 170.84.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkuranga­n kepada 2.24 bilion saham bernilai RM2.24 bilion daripada 2.41 bilion saham bernilai RM2.38 bilion.

Bagi waran, jumlahnya meningkat kepada 541.66 juta unit bernilai RM116.22 juta daripada 496.72 juta unit bernilai RM98.78 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula menokok kepada 262.03 juta saham bernilai RM56.17 juta berbanding 250.20 juta saham bernilai RM51.75 juta.

Produk dan perkhidmat­an pengguna menyumbang 213.16 juta saham yang didagangka­n di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmat­an industri (377.05 juta), pembinaan (263,02 juta), teknologi (539.02 juta), SPAC (sifar), perkhidmat­an kewangan (60 juta), hartanah (158.15 juta), perladanga­n (30.38 juta), REIT (12.40 juta), dana tertutup (145,000), tenaga (444.52 juta), penjagaan kesihatan (33.42 juta), telekomuni­kasi dan media (43.43 juta) juta), pengangkut­an dan logistik (36.80 juta) serta utiliti (32.66 juta).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia