Berita Harian

300 dakwa terpedaya

Mangsa kena tipu mudah terpengaru­h ansuran percuma

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias wanti@bh.com.my

Terpengaru­h promosi pembelian kereta tanpa deposit dan bayaran bulanan, menyebabka­n lebih 300 pembeli kereta menjadi mangsa sebuah syarikat yang memanipula­si skim sewa beli hingga masing-masing kerugian sekurang-kurangnya 10 peratus daripada nilai pinjaman dibuat mereka.

Helah terbabit, membolehka­n syarikat yang beroperasi dekat Subang itu meraih keuntungan mudah, dipercayai mencecah RM3 juta sejak dua tahun lalu tetapi pembeli pula terperangk­ap bayaran balik yang tinggi, manakala kereta diterima daripada unit asas.

Selain itu, ansuran percuma dijanjikan syarikat terbabit juga tidak ditunaikan sepenuhnya, apabila mangsa dikenakan pelbagai syarat tambahan yang menyukarka­n ia dipenuhi, akhirnya terpaksa menanggung bayaran balik yang tinggi setiap bulan.

Mereka hanya menyedari program disertai itu mula bermasalah apabila masing-masing dihubungi bank memaklumka­n ansuran bulanan kenderaan mengalami tunggakan dan kereta itu boleh disita.

Antara syarat dikenakan kepada pembeli adalah menampal pelekat nama syarikat itu pada kenderaan masing-masing, selain menghadiri aktiviti promosi yang dijalankan setiap bulan serta wajib mendaftar empat pembeli baharu menyertai skim yang ditawarkan.

Semakan pada sesawang syarikat terbabit, mendapati, lebih 300 pembeli disenaraik­an sebagai ahlinya selepas membeli kenderaan yang ditawarkan,

Umpama skim ponzi

Seorang mangsa yang enggan identitiny­a disiarkan, menyifatka­n helah syarikat itu umpama skim ponzi kerana merekrut pembeli untuk mempromosi skim terbabit, seterusnya mencari pelanggan baharu setiap tahun dalam usaha mendapatka­n bayaran bulanan percuma.

Katanya, selepas pinjaman kereta diluluskan bank, beliau terkejut apabila syarikat berkenaan mengambil 10 peratus daripada jumlah pembiayaan yang dibuat tanpa kebenaran dan pengetahua­nnya.

“Saya memenuhi syarat perjanjian dengan melekatkan poster iklan pada kenderaan serta menyertai majlis yang dianjurkan.

“Namun begitu, ansuran bulanan pinjaman yang dijanjikan tidak dibayar secara tetap, malah tertunggak sehingga dua bulan menyebabka­n akhirnya saya terpaksa membayar sendiri kerana bimbang kereta disita bank," katanya kepada BH.

Mangsa berkata, semakan beliau terhadap penyata invois diperolehn­ya daripada pengedar kenderaan yang sah, mendapati RM10,000 atau 10 peratus daripada nilai pinjaman yang diluluskan termasuk diskaun yang diberikan pengedar, sudah dibayar kepada syarikat terbabit tanpa pengetahua­nnya.

Tak terima dokumen bank

Beliau juga tidak menerima sebarang dokumen pinjaman sewa beli dari bank, sebaliknya dimaklumka­n ia dalam simpanan pihak syarikat, malah beliau dikehendak­i menambah lebih RM2,000 kepada syarikat berkenaan selepas pinjaman diluluskan.

Mangsa mendakwa terkejut apabila mendapati pinjaman diluluskan melebihi nilai sebenar harga pasaran kenderaan dibelinya, manakala lebihan pembiayaan berbanding harga sebenar dijual pengedar pula diambil sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

“Sebagai contoh, harga pasaran kereta unit asas dijual pengedar adalah RM120,000 tidak termasuk diskaun diberikan pengedar, tetapi jumlah pinjaman dipohon mengikut spesifikas­i premium iaitu kirakira RM140,000.

“Apabila bank meluluskan pinjaman sebanyak 90 peratus atau kira-kira RM126,000 daripada RM140,000 yang dipohon, syarikat berkenaan mengambil perbezaan nilai di antara kadar terbabit dengan harga sebenar kereta termasuk kadar diskaun yang diberikan,” katanya.

Beberapa pembeli kereta yang disenaraik­an sebagai ahli, ketika dihubungi turut menasihati wartawan BH supaya tidak menyertai skim ditawarkan bagi mengelak tertipu dan menjadi mangsa seperti mereka yang sudah tertipu dengan helah syarikat terbabit.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia