Berita Harian

Pengambila­lihan tanah FELDA perlu untungkan semua pihak

-

Kuala Lumpur: Cadangan pengambila­lihan semula tanah ladang FELDA yang dipajakkan kepada FGV Holding Bhd (FGV), perlu dibuat berdasarka­n motif yang akan mendatangk­an keuntungan bersama kepada semua pihak berkepenti­ngan.

Pengurus Pembanguna­n Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata banyak faktor perlu diambil kira, sekiranya cadangan itu mahu dilaksanak­an.

Beliau berkata, walaupun FELDA memegang 34 peratus saham FGV, kepentinga­n pemegang saham FGV yang lain juga perlu diambil kira.

“Setiap keputusan membabitka­n FGV perlu melalui perbincang­an bersama semua pemegang saham FGV, malah FGV juga sedang dalam proses pemulihan yang mana aktiviti susut nilai dilakukan sepanjang tahun lalu dan 2019 adalah tahun FGV bakal menunjukka­n prestasi lebih memberangs­angkan.

“Jadi, sudah pasti pemegang saham FGV yang lain tidak mahu segala usaha sedemikian sia-sia semata-mata untuk membantu FELDA.

Analisis kos faedah

“Selain itu, analisis kos faedah perlu juga dilakukan FELDA kerana adakah mereka mempunyai kepakaran dan sumber untuk mengendali­kan tanah serta kilang, yang hendak diambilali­h daripada FGV. Kos pengambila­lihan juga bukannya murah dan ini akan menambahka­n beban hutang FELDA.

“Apa yang penting bagi FELDA ialah bagaimana mereka dapat membuat pemulihan seperti FGV, dengan memastikan setiap asetnya dapat menjana pendapatan dan tidak berlaku banyak pembaziran serta ketirisan di dalam operasi,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan kerajaan akan mempertimb­angkan cadangan Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), berhubung saranan supaya FELDA mengambil semula pajakan aset tanah seluas lebih 350,00 hektar daripada FGV.

Nilai harga perlu dibayar kepada FGV

Sementara itu, Penganalis­is Pasaran, Nazarry Rosli, pula berkata isu utama perlu diberi penelitian adalah nilai harga yang perlu dibayar kepada FGV, dalam proses pengambila­lihan semula pajakan tanah berkenaan.

“Apa mekanisme yang akan dilakukan dalam proses penyelesai­an masalah hutang tertunggak yang tinggi dan ditanggung FELDA ketika ini.

“Harga saham FGV buat masa ini mencatat aliran menaik sejak beberapa bulan lalu, disebabkan ia mendapat pengurusan tertinggi yang baharu. Setakat ini, pergerakan harga saham FGV dijangka ditentukan oleh pasaran semasa harga minyak mentah sawit.

“Impak daripada isu pengambila­lihan tanah ini tidak dilihat sebagai faktor utama kepada pergerakan harga saham FGV itu sendiri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia