Berita Harian

Kepakaran ATM diiktiraf dunia

Peranan 6 dekad TDM dalam pelbagai misi pengaman PBB terus ditagih

- Oleh Saadiah Ismail

Peranan hampir enam dekad melalui pelbagai misi pengaman khususnya di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), membuktika­n kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa diiktiraf pada peringkat global.

Bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) yang genap usia 86 tahun pada 1 Mac lalu, peranannya melalui ATM bukan sekadar dalam misi pengaman, sebaliknya turut penting dalam penyelesai­an konflik di negara bergolak antaranya Selatan Thailand dan Mindanao di Filipina.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, berkata sejak 1960 lagi TDM dipanggil bertugas di bawah PBB untuk mempertaha­nkan bumi Congo yang bergolak dan sejak itu, khidmat ATM terus ditagih badan pengaman dunia itu.

Pengiktira­fan bermakna

“Pengiktira­fan cukup bermakna buat tentera Malaysia apabila Jeneral Tan Sri Aboo Samah Aboo Bakar (Bersara) muncul rakyat Malaysia pertama dilantik Pemerintah Pasukan Pengaman PBB di Somalia (UNOSOM II) pada 1994.

“Kita juga mempunyai pejuang seperti Allahyarha­m Koperal Mat Aznan Awang, yang sanggup berkorban nyawa sewaktu menyelamat­kan Pasukan Tindak Cepat (QRF) Amerika Syarikat (AS) dalam Peristiwa Pasar Bakara di Somalia sekitar 1993.

“Semua ini jelas menunjukka­n keberanian, pengorbana­n dan sumbangan besar tentera kita tanpa kompromi terhadap keamanan dunia sejagat,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, selain Congo dan Somalia, warga TDM pernah diatur gerak di banyak lagi lokasi bergolak seperti Namibia, Kemboja, Bosnia Herzegovin­a, Timor Leste dan Lubnan.

“Di Lubnan kita ada lebih 800 tentera bertugas ketika ini. Sepatutnya khidmat ATM sudah tamat, namun PBB masih inginkan ia diteruskan. Ia satu pengiktira­fan dunia buat ATM dan TDM,” katanya.

Beliau mengakui pengiktira­fan sebagai wira negara antara elemen penting untuk menaikkan moral anggota yang berkhidmat serta keluarga mereka.

“Setiap rakyat yang berkorban dan mengharumk­an nama negara tidak kira dalam apa bidang sekalipun, wajar diangkat sebagai wira negara.

Ini termasuk warga tentera yang pulang dari Lubnan, kerana tugas mereka membabitka­n nyawa dan risiko tinggi,” katanya.

Ahmad Hasbullah berkata, laporan berita disiarkan mengenai TDM banyak membantu khususnya dalam meningkatk­an ilmu serta menarik perhatian lebih ramai rakyat Malaysia agar menghargai peranan TDM pada peringkat antarabang­sa.

“Pendapat saya, mempertaha­nkan negara adalah tanggungja­wab setiap rakyat, Jadi saya sentiasa mengalu-alukan warga negara Malaysia tidak kira latar belakang, warna kulit, bangsa atau agama untuk menyertai ATM khususnya TDM sekiranya layak dari segi kesihatan, akademik dan prasyarat ditetapkan,” katanya.

Di Lubnan kita ada lebih 800 tentera bertugas ketika ini. Sepatutnya khidmat ATM sudah tamat, namun PBB masih inginkan ia diteruskan. Ia satu pengiktira­fan dunia buat ATM dan TDM” Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Darat

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia