Berita Harian

Polis rampas penyangkut baju, pakaian suspek lelaki

Bahan bukti terbaru dipercayai diguna untuk dera mangsa

- Oleh Hamzah Osman bhnews@bh.com.my

Polis merampas dua penyangkut baju dan pakaian suspek lelaki ketika membuat pemeriksaa­n semula di rumah pasangan suami isteri yang ditahan berhubung kematian Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3.

Dua bahan bukti itu dirampas dalam rumah suspek di Kuarters Hospital Langkawi, di sini, selepas ditunjukka­n suspek lelaki pada jam 3 petang semalam.

Rampasan terbaru itu adalah bukti kedua selain toto yang ada titisan darah diambil polis dari lokasi kejadian bunuh kanakkanak itu yang dipercayai berlaku pada 16 Februari lalu.

Mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibuang di kawasan hutan berdekatan Jalan Gunung Raya di sini.

Periksa semula lokasi

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superinten­dan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kejayaan itu berikutan pemeriksaa­n semula pasukan penyiasat ke lokasi yang turut disertai suspek lelaki dan wanita berusia 37 dan 40 tahun itu.

“Dua penyangkut baju yang dirampas itu dipercayai digunakan suspek lelaki untuk mendera mangsa ketika mangsa dalam penjagaann­ya.

“Penyangkut baju dan pakaian yang dipakai suspek lelaki pada hari kejadian yang dirampas akan dibawa ke Jabatan Kimia, Isnin ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, polis semalam meneruskan operasi mencari saki baki cebisan mayat Nur Aisyah Aleya.

Operasi pasukan polis dan bomba menggunaka­n bantuan khidmat anjing pengesan dihentikan jam 1 tengah hari kelmarin dan disambung semalam.

Mohd Iqbal berkata, operasi masuk hari ketiga dalam usaha mengumpul semua cebisan mayat bagi dijadikan bukti.

“Kami masih mencari dan mengesan kemungkina­n masih ada cebisan mayat di lokasi mangsa dibuang oleh suspek. Setakat ini, polis sudah menemui tiga sampel, iaitu tiga gumpalan rambut, dua batang gigi dan satu tengkorak,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Iqbal dilaporkan berkata, polis menemui cebisan mayat berkenaan di tempat pembuangan mayat oleh suspek dalam hutan Jalan Gunung Raya, di sini.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya di sini, pada jam 11 pagi Rabu lalu, selepas suspek lelaki berusia 37 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Ampang, Selangor, menunjukka­n lokasi mayat mangsa dibuang dipercayai dilakukan pada 16 Februari lalu.

Mohd Iqbal berkata, cebisan mayat itu yang kini dalam simpanan polis dijangka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, esok.

“Bedah siasat akan dilakukan Ahad ini sebelum cebisan mayat dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN PDRM] ?? Anggota polis membawa suspek lelaki ke rumahnya di Kuarters Hospital Langkawi, untuk mencari bahan bukti kes bunuh Nur Aisyah Aleya, semalam.
[FOTO IHSAN PDRM] Anggota polis membawa suspek lelaki ke rumahnya di Kuarters Hospital Langkawi, untuk mencari bahan bukti kes bunuh Nur Aisyah Aleya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia