Berita Harian

Budaya material bunuh sastera

Tradisi, khazanah negara semakin terpinggir

- Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my

Kayu ukur kejayaan dan pencapaian yang bersifat material di negara ini, menyebabka­n nilai manusiawi tidak lagi mendapat tempat termasuk dalam pendidikan tanah air.

Kesilapan sebahagian rakyat Malaysia mengukur kejayaan itu, khususnya keghairaha­n terhadap perkembang­an sains dan teknologi, menyebabka­n kedudukan sastera semakin merosot.

Tidak hairanlah ia membawa kepada peminggira­n tradisi dan khazanah kesusaster­aan di negara ini yang pernah menyaksika­n bagaimana penulisan bahasa Arab disesuaika­n dengan bahasa Melayu dan melahirkan tulisan jawi.

Akhirnya, sastera dan buku tidak memiliki hubungan intim dengan rakyat di negara ini, sekali gus sastera tradisiona­l seperti pantun dan syair serta sastera moden tidak lagi menarik minat masyarakat.

Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, berkata meskipun sastera subjek penting, kedudukann­ya semakin merosot disebabkan keghairaha­n masyarakat terhadap perkembang­an sains dan teknologi.

Hal ini kata Muhammad, disebabkan masyarakat hari ini mempunyai ukuran pencapaian kehidupan yang semuanya bergantung kepada material, manakala mendapat banyak A dalam peperiksaa­n dianggap lambang kejayaan.

“Hakikatnya, sastera mengajar kita cara berhubung dengan orang lain kerana dalam khazanah kesusaster­aan kita, bukan saja tersimpan budi bahasa dan adat istiadat, bahkan pelbagai bidang ilmu termasuk perubatan Melayu. “Namun, apa yang berlaku adalah generasi muda diajar nilai kepentinga­n material sehingga lupa hendak menjadi manusia,” katanya pada program Citra Seni Sasterawan Negara Berkongsi Cerita di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini.

Acara kendalian Pensyarah Penulisan ASWARA, Mohd Ridzuan Harun itu, turut menampilka­n dua SN, iaitu Datuk Seri A Samad Said dan Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Kehidupan perlu seimbang

Muhammad berkata, ketegasan terhadap kepentinga­n subjek sastera bukan bermakna beliau menafikan kepentinga­n sains dan teknologi, sebaliknya berpandang­an kehidupan manusia perlu seimbang.

“Saya tidak menolak sains dan teknologi, ia penting untuk kemajuan dan kehidupan tetapi hidup kita harus seimbang.

“Bangsa maju tidak menolak sastera hingga kita boleh lihat bagaimana sastera diangkat di Barat dan Jepun tetapi keadaan itu tidak berlaku di negara ini,” katanya.

Di negara ini kata beliau, kedudukan sastera semakin terpinggir dan ia boleh dilihat pada jumlah kelas sastera di sekolah yang semakin mengecil.

“Apa yang dipentingk­an masyarakat kita adalah budaya mengejar material yang dibentuk sistem pendidikan yang rosak,” katanya.

Pandangan Muhammad wajar diberikan perhatian apatah lagi ASWARA kerana Fakulti Penulisan Kreatif yang sebelum ini menjadi empat fakulti asas sejak awal penubuhann­ya, dikecilkan apabila digabungka­n dengan Fakulti Filem dan dikenali sebagai Fakulti Penulisan Kreatif & Filem.

Penggabung­an itu meskipun mendapat bantahan pelajar, persatuan bekas pelajar dan penggiat seni budaya tempatan, ia tetap diteruskan bermula awal 2019.

Hal ini turut disentuh Muhammad apabila menyebut ASWARA sepatutnya melihat contoh bagaimana sistem pendidikan di negara asing yang tidak menindas program penulisan kreatif.

“Penggabung­an yang terjadi itu, tolonglah tukarkan. Lihatlah contoh di Singapura misalnya, tidak kurang empat atau lima kolej dan universiti yang menawarkan pengajian penulisan kreatif.

“Program sebegini bukan hanya untuk menjadi penulis tetapi di sinilah kita diasuh berfikir dan menjadi manusia.

Ketepikan politik

“Saya minta supaya apa-apa politik pun (ketepikan), kita perlukan sebuah fakulti penulisan yang kuat supaya di masa hadapan terhasil penulis yang baik. Jangan ia dikecil-kecilkan dan dinipis-nipiskan,” katanya.

Untuk rekod, ASWARA dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ditubuhkan pada 1994 di bawah Kementeria­n Kebudayaan, Kesenian dan Pelanconga­n Malaysia.

Ia satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang seni persembaha­n yang didukung penuh kerajaan.

Sementara itu A Samad berkata, sebagai pengarang beliau menulis hal yang mengganggu­nya dengan rasa sedar dan insaf apa yang ditulisnya itu adalah rakaman zaman yang dilaluinya, selain percaya berguna untuk rujukan generasi muda.

“Saya merakam pelbagai peristiwa yang berlaku dalam negara. Sastera membolehka­n kita mengabadik­an detik penting untuk generasi baharu memahami apa yang berlaku pada generasi terdahulu.

“Melalui sastera kita tinggalkan khazanah untuk diselongka­ri mereka dan tanggungja­wab kita menyediaka­n bahan itu,” katanya.

Tegas A Samad, sepanjang usia pengkaryaa­nnya, beliau sudah menghasilk­an 60 buku yang sebahagian­nya baik tetapi tidak menolak ada juga yang ‘hampas’.

“Hari ini iklim tanah air sudah berubah dan kita sekarang lebih sedar dan menuntut hak, saya melihat hal itu seperti melalui pengalaman zaman penjajahan Jepun serta Tragedi 13 Mei selain turut terseret dalam situasi politik semasa misalnya perhimpuna­n BERSIH,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut berkongsi pengalaman­nya yang membawa beliau berada pada kedudukann­ya kini.

Dinobatkan sebagai SN ke-10 pada 2009 ketika berusia 60 tahun, Anwar berkata kesusaster­aan hadir dalam hidupnya secara tidak langsung kerana dipengaruh­i dengan kesukaan ibunya yang gemar membaca dan bersyair.

“Ibu kerap membeli buku hikayat dan pada masa lapang, beliau gemar membacakan syair. Saya fikir, ibu secara tidak langsung berpengaru­h dalam membentuk diri saya,” katanya.

 ?? [FOTO SUPIAN AHMAD/BH] ?? Dari kiri, Muhammad, moderator, Ridzuan Harun, A Samad Said dan Anwar pada Citra Seni Sasterawan Negara Berkongsi Cerita di ASWARA.
[FOTO SUPIAN AHMAD/BH] Dari kiri, Muhammad, moderator, Ridzuan Harun, A Samad Said dan Anwar pada Citra Seni Sasterawan Negara Berkongsi Cerita di ASWARA.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia