Berita Harian

Hasrat MAINPP perluas guna tanah wakaf

-

Pelbagai inisiatif dirangka Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi memaksimum­kan penggunaan tanah wakaf di negeri berkenaan, termasuk melalui pembanguna­n perumahan berstrata. Ada antaranya terganggu apabila ditentang penghuni sedia ada seperti yang berlaku di Tanah Wakaf Abdul Cauder di Butterwort­h. Wartawan BH, Muhammad Yusri Muzamir menemu bual Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, untuk mengupas perancanga­n pengurusan dan pembanguna­n tanah wakaf di Pulau Pinang, termasuk isu sebenar membelengg­u Tanah Wakaf Abdul Cauder.

S:

Apa pendirian MAINPP dalam soal pembanguna­n tanah wakaf di Pulau Pinang?

J: Konsepnya mewakafkan untuk sesuatu faedah sama ada khas (dinyatakan pewakaf) atau am (tidak dinyatakan). Sebagai pemegang amanah, kita bertanggun­gjawab menunaikan hajat pewakaf, khususnya yang dinyatakan (khas). Tanggungja­wab kita memastikan ‘keuntungan’ lebih besar kepada pewakaf melalui peluasan faedah harta wakaf itu. Ini dilandaska­n atas surat yang ada dan sebagainya, dengan panduan fatwa. Jika ada perkara tidak jelas mahu dilakukan, kita akan bawa kepada Jawatankua­sa Fatwa (negeri) untuk keputusan.

S:

Bagaimana inisiatif ini di- rungkai dalam kes Tanah Wakaf Abdul Cauder?

J: Hasrat kita menyampaik­an amanat pewakaf dan mengimarah­kannya dengan membabitka­n faedah kepada lebih ramai masyarakat Islam, daripada 46 keluarga kepada lebih 400 keluarga. Kita masih tidak tunaikan sepenuhnya hasrat pewakaf melalui tanah terbabit, khususnya menambah bilangan umat Islam (menerima manfaat) dengan kedudukan lebih selesa, baik dan sejahtera di semua kampung berkenaan.

S:

Apa sebenarnya mengundang masalah Tanah Wakaf Abdul Cauder?

J: Kerajaan negeri terdahulu (Barisan Nasional) mula berbincang dengan penduduk untuk memajukann­ya. Melalui kerajaan baharu pada 2008, kita mulakan proses untuk dapatkan dana serta memajukan tanah itu. Ada beberapa kes dibawa penduduk ke mahkamah. Jawatankua­sa Fatwa negeri dalam (minit mesyuarat) Bilangan 1/2012 memutuskan rancangan MAINPP untuk membangunk­an tanah wakaf ini secara komersial tidak bercanggah hasrat pewakaf dan dibenarkan syarak.

Kalau tengok tanah wakaf di Pulau Pinang, semuanya tidak terjaga. Bagaimana kita hendak jaga kalau keadaan rumahnya seperti sedia ada sejak berpuluh tahun. Sistem perparitan tidak ada, jalan raya tidak sesuai, serta tiang elektrik tidak sempurna pemasangan. Ini boleh mengundang kebakaran, ambulans juga tiada akses masuk ke perkampung­an di tanah wakaf. Penduduk kena dapat tahap kependuduk­an lebih baik.

S:

Ada ura-ura campur tangan politik menghalang tindakan MAINPP selama ini. Boleh Datuk perjelaska­n?

J: Ada beberapa badan politik dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bantu penduduk. Mereka faham hasrat MAINPP, ada berhubung dan berbincang dengan saya. Mereka minta masa untuk penduduk keluar dan kita beri. Apabila tiba hari pelaksanaa­n pengusiran sepatutnya pada 12 hingga 14 Februari lalu, mereka berhubung dan minta masa sehingga dua minggu dan dipersetuj­ui semua pihak. Apabila melihat keengganan penduduk berpindah tanpa sebab, mereka berhenti berhubung dengan saya, selain beranggapa­n pihak ini sudah berputus asa.

S:

Apa kekangan MAINPP dalam soal membangunk­an Tanah Wakaf Abdul Cauder?

J: Mereka (yang enggan berpindah) mungkin tertipu dengan beberapa individu yang mengatakan tanah terbabit bukan seperti tanah wakaf yang kita semua faham. Namun kes ini sudah dibicaraka­n di mahkamah. Semua keraguan serta bantahan sudah dicabar di mahkamah dan semuanya ditolak badan kehakiman.

Mereka juga dakwa pelan (pembanguna­n semula tanah wakaf) belum siap. Sepatutnya, mereka tidak perlu mempersoal­kannya. MAINPP selama ini beri komitmen tinggi antaranya tawarkan RM500 sewa sebulan sampai projek siap dibina.

S:

MAINPP berdepan kerugian khususnya dari segi kos susulan kedudukan Tanah Wakaf Abdul Cauder. Boleh Datuk jelaskan?

J: Kita sudah ada perancanga­n, kos dan reka bentuk, namun belum dimuktamad­kan. Kita tidak serahkan lagi kepada MPSP (Majlis Perbandara­n Seberang Perai) sebab jika diluluskan, akan ada jangka masa. Ia akan lebih merugikan kerana jangka masa tamat perlu diperbahar­ui dan kena bayar. Pihak pemaju, JAWHAR meletakkan syarat agar dikosongka­n tanah dahulu, sebelum dimulakan proses permohonan pelan kepada MPSP bagi mendapatka­n kelulusan.

S:

MAINPP terlalu berlembut dalam hal ini, namun kenapa tahun ini mula bertegas?

J: Kita gagal laksana tiga perintah mahkamah sebelum ini dan ini kali keempat. Setiap kali perintah mahkamah, kos

RM80,000 ditanggung MAINPP. Berdasarka­n arahan mahkamah, penduduk perlu kosongkan (premis masing-masing) dalam tempoh dua minggu. Jika gagal, mahkamah akan beri tarikh untuk pegawai undang-undang (bailif) turun bagi mendapatka­n milikan kosong secara paksaan.

Tiga perintah mahkamah sudah terbatal dan kita dinasihat jangan buang masa mahkamah. Saya setuju kita terlalu berlembut, 32 keluarga yang sudah berpindah juga marah kerana tidak bertegas dengan kumpulan yang enggan berpindah itu. S:

Keengganan penduduk menyebabka­n perkembang­an pembanguna­n tanah wakaf terbantut. Apa komen Datuk?

J: Jelas sekali usaha kita untuk pembanguna­n ummah terbantut. Contohnya di Kampung Dodol, kita boleh bina masjid lebih besar, sekolah agama rakyat, dewan orang ramai, naikkan flet yang boleh menempatka­n ratusan orang ramai secara selesa. Kalau mahu dibina (ganti) rumah kampung juga, keluasan tanah 1.09 hektar tidak mencukupi untuk tampung 50 rumah kemudahan infrastruk­tur lain. Sebab itu kita perlu perumahan berstrata yang boleh menempatka­n lebih ramai orang Islam. Nak duduk kampung tidak semestinya rumah di atas tanah, flet pun boleh. Perbezaann­ya ialah penerimaan.

S:

Betulkah ada dakwaan wa- ris tanah wakaf berkenaan dipaksa bersetuju cadangan pembinaan MAINPP?

J: Selaku pemegang amanah, MAINPP boleh tidak bersetuju dengan pendapat waris. Mereka bawa kita ke mahkamah dan gagal. Katanya ada desakan untuk menandatan­gani dokumen, tetapi kalau (waris) tidak mahu, janganlah (tandatanga­n). (Waris) perlu terima, jika sudah tandatanga­n.

Bagi Tanah Wakaf Abdul Cauder, kita cadang mendirikan 460 unit rumah pangsapuri kos sederhana rendah 22 tingkat. Selain penempatan semula 46 pemilik rumah terbabit, baki unit akan ditawarkan untuk sewaan kepada golongan berpendapa­tan rendah dan sederhana dengan hasrat menjana pendapatan bagi pengurusan tanah wakaf berkenaan.

S:

Berapa kos projek Tanah Wakaf Abdul Cauder dan siapa yang akan tanggung?

J: Pilihan pertama pastinya JAWHAR yang beri komitmen 10 tahun lalu walaupun kita ada pilihan lain. Dana zakat adalah alternatif lain difikirkan, tetapi perlu tunggu keputusan JAWHAR terlebih dahulu. Saya rasa dua minggu lagi pihak berkenaan akan bermesyuar­at dengan kita, melihat tanah dan sebagainya.

Mereka sudah memperuntu­kkan RM50 juta yang diberi sebelum ini terpaksa kita pindahkan ke pembanguna­n Tanah Wakaf di Teluk Air Tawar di Butterwort­h terlebih dahulu susulan penangguha­n pelaksanaa­n projek Tanah Wakaf Abdul Cauder. Dari segi bayaran sewa kepada 32 keluarga pula daripada dana diperuntuk­kan JAWHAR. Kedua-dua projek (Tanah Wakaf di Teluk Air Tawar dan Abdul Cauder) berkaitan antara satu sama lain.

S:

Apa cadangan MAINPP untuk selesaikan isu pendudukan Tanah Wakaf Abdul Cauder?

J: Kita buat tawaran timbal balas kepada 32 keluarga dengan menawarkan unit perumahan di mana-mana projek yang siap dahulu. Mereka boleh ambil unit di Teluk Air Tawar dan hentikan sewaan RM500 sebulan yang diberikan atau tungggu saja projek satu lagi siap. Kalau ambil unit di Teluk Air Tawar dan selepas itu mahu bertukar ke Tanah Wakaf Abdul Cauder pun, kita boleh bincang.

Konsep pemilikan ditawarkan secara terus dan percuma kepada kumpulan penduduk ini, manakala selebihnya akan diputuskan kemudian sama ada mengguna pakai kaedah sewa beli, sewa atau dijual. Kita juga ambil kira kemelut berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Georgetown dalam menentukan kaedah bersesuaia­n.

 ??  ?? Abdul Malik Abul Kassim
Abdul Malik Abul Kassim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia