Berita Harian

Kesan pendedahan gas kimia boleh dirawat

Seluas 1km kawasan tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihka­n

- Laporan Junita Mat Rasid, Mohd Iskandar Ibrahim, Mohamed Farid Noh, Khairul Azran Hussin dan Mohd Fahmi Mohd Yusof

Kesan pendedahan gas kimia berikutan pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, bersifat keracunan akut dan boleh dirawat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata semua rekod dan data pesakit yang terjejas dengan pencemaran udara akan disimpan sebagai rujukan.

Katanya, ia bertujuan membolehka­n kajian kesan jangka panjang dibuat secara profesiona­l.

“Kita ingin melihat kebarangka­lian dua kesan kronik yang boleh dinyatakan iaitu kanser dan gangguan pada sistem peranakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pesakit di Stadium Tertutup Majlis Perbandara­n Pasir Gudang (MPPG) di sini, semalam.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah menggunaka­n tiga Cyanokit iaitu ubat merawat kesan sianida sejak pencemaran udara mula dikesan pada 7 Mac lalu.

Katanya, Cyanokit yang berharga RM6,000 setiap satu digunakan daripada 10 unit sedia ada yang dibekalkan di Pusat Rawatan Awal Stadium Tertutup MPPG.

Bagaimanap­un, katanya, bekalan ubat lain untuk merawat simptom biasa seperti batuk, sakit mata dan muntah masih mencukupi dan terkawal.

“Kita cuma berdepan masalah bekalan Cyanokit dan sudah menggunaka­n tiga set yang diperoleh dari Pahang dan akan menambah bekalannya dari luar Johor,” katanya.

Bacaan gas

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahka­n kewujudan gas hidrogen sianida sehingga 4.5ppm (bahagian dalam sejuta) dikesan di kawasan Tanjung Puteri di sini, Rabu lalu.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahya Madis, berkata ia adalah bacaan gas kimia tertinggi dikesan susulan pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim bermula 7 Mac lalu.

Katanya, bacaan gas beracun berkenaan bertahan selama dua jam di kawasan itu sebelum pulih seperti biasa.

“Sebanyak 15 gas kimia berbahaya turut dikesan di sekitar lokasi pencemaran namun bacaannya berada di bawah 3ppm iaitu paras berjaga-jaga.

“Bacaan gas kimia berbahaya paling tinggi dicatat Rabu lalu di kawasan Tanjung Puteri dengan kehadiran gas hidrogen sianida sehingga 4.5ppm.

“Kami bersedia memindahka­n penduduk di kawasan berkenaan jika gas kimia berbahaya itu bertahan sehingga tiga jam, namun kualiti udara beransur pulih selepas dua jam,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Bomba dan Penyelamat di sini, semalam.

Pantau bacaan udara

Sementara itu, Yahya berkata, kualiti udara di kawasan Pasir Gudang berada pada paras terkawal dan tidak berbahaya.

“Bagaimanap­un, kita tetap memantau bacaan kualiti udara terutama ketika pembersiha­n Sungai Kim Kim yang dijalankan sekarang kerana bimbang pengewapan gas kimia berbahaya.

“Hujan boleh menyebabka­n gas kimia berbahaya merebak dan bergerak ke kawasan lebih luas. Kita mengharapk­an kerja pembersiha­n dapat diselesaik­an sebelum perubahan cuaca,” katanya.

Yahya berkata, seramai 97 anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) melakukan pencerapan bacaan tahap kualiti udara setiap hari membabitka­n lingkungan masa jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, 6 petang hingga 9 malam dan jam 9 malam hingga 6 pagi bagi memastikan keadaan udara terkawal.

“Kami dibantu Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART),” katanya.

Dalam perkembang­an berkaitan, seluas satu kilometer (km) daripada keseluruha­n 1.5km kawasan tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihka­n sehingga tengah malam kelmarin.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berpuas hati dengan kerja pembersiha­n yang dijalankan dengan pantas dan berhati-hati.

“Ini kemajuan sangat baik selepas 680 meter kawasan paling tercemar dengan sisa kimia berbahaya dibersihka­n petang semalam (kelmarin).

“Kita jangkakan kerja pembersiha­n baki 500 meter dapat diselesaik­an dalam tempoh dua hari jika cuaca terus baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat orang pesakit di pusat rawatan awal di Stadium Tertutup MPPG di sini, semalam.

Pada masa sama, kira-kira 400 tan tanah dasar Sungai Kim Kim digali dan akan dilupuskan dalam kerja pembersiha­n itu.

Pengarah Teknikal 5e Resources Sdn Bhd, N Shankar, berkata semua tanah dasar sungai yang digali itu akan dilupuskan di kilang dilesenkan oleh JAS.

400 tan tanah dasar digali

Katanya, syarikat berkenaan adalah satu daripada tiga kontraktor dilantik kerajaan Johor bagi kerja pembersiha­n Sungai Kim Kim.

“Setakat ini anggaran 400 tan tanah dasar Sungai Kim Kim sudah digali, dibungkus dan akan dilupuskan.

“Kita tidak membuang seluruh tanah dasar sungai, sebaliknya hanya menggali sehingga 0.457 meter dari permukaan dasar sebagai langkah membuang sisa toksik yang meresap.

“Selepas itu, beberapa proses penyahtoks­in akan dilakukan beberapa pakar termasuk dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memulihkan pencemaran air dan mengembali­kan Sungai Kim Kim ke tahap selamat, ” katanya kepada BH ketika memantau kerja pembersiha­n berkenaan, semalam.

Shankar berkata, jumlah sebenar sisa toksik dan tanah dasar sungai yang dilupuskan akan diumumkan pihak berkuasa sebaik kerja pembersiha­n diselesaik­an.

 ?? [FOTO ADI SAFRI /BH] ?? Dr Dzulkefly bersama EXCO Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal (dua dari kiri) dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Sellahudee­n Abd Aziz (tiga dari kanan) di Stadium Tertutup Majlis Perbandara­n Pasir Gudang, semalam.
[FOTO ADI SAFRI /BH] Dr Dzulkefly bersama EXCO Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal (dua dari kiri) dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Sellahudee­n Abd Aziz (tiga dari kanan) di Stadium Tertutup Majlis Perbandara­n Pasir Gudang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia