Berita Harian

Masih dapat sokongan iflix

Syarikat sedia terus kekal sebagai tanda sokongan

- Oleh Syafiq Aznan

Meskipun ‘bercerai’ dengan Telekom Malaysia (TM) kelmarin, namun badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tetap mendapat sokongan penuh daripada satu lagi penaja mereka iaitu iflix.

Ketua Pegawai Pemasaran iflix, Jason Monteiro menegaskan pihaknya sentiasa menaruh keyakinan tinggi kepada MFL apabila bersedia untuk terus kekal menjadi salah satu penaja kepada badan pengendali liga itu.

Di sebalik ketiadaan TM, Jason tetap memberikan jaminan kepada semua pihak khususnya penyokong bola sepak tempatan betapa iflix sentiasa berdiri teguh untuk memberikan sokongan kepada MFL pada musim ini.

“Kami percaya bola sepak bukan sahaja milik rakyat Malaysia tetapi ia adalah hak kepada penyokong untuk menikmati sukan ini yang diangkat menjadi sukan nombor satu dalam negara ini.

“Jadi kami ingin menjelaska­n dan memastikan kepada peminat bahawa iflix sentiasa memberikan sokongan kepada bola sepak, akan sentiasa terus melabur dalam bola sepak tempatan dan kami memastikan tidak kira apa yang akan berlaku, semua peminat masih dapat menonton di iflix yang menjadi rakan penyiar rasmi.

Liga M miliki potensi besar

“Kami sebenarnya sangat gembira dengan perkembang­an syarikat kami sendiri sejak bekerjasam­a dengan MFL. Jadi, kepada peminat di luar sana, kami turut meminati sukan bola sepak seperti kamu dan kami akan memastikan iflix sentiasa berada di sisi,” katanya.

Dalam perkembang­an sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ampersand Advisory, Sandeep Mark Joseph yang turut senada bersama Jason, menganggap Liga M memiliki potensi cukup besar yang mana ia seharusnya dimanfaatk­an oleh semua pihak khususnya rakan penaja.

“Sebagai organisasi membawa penaja masuk ke MFL, kami sentiasa yakin penaja akan sentiasa datang dan menunjukka­n MFL adalah satu syarikat korporat yang dijalankan dengan penuh profesiona­l,” katanya.

Kelmarin, MFL mengambil keputusan menamatkan kontrak TM selaku penaja rasmi pihaknya. Ia dibuat selepas mendapat kata sepakat ahli lembaga pengarah dalam satu mesyuarat bersama Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Johor Bahru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia