Pensyarah sedia sarapan percuma

Berita Harian - - ISU -

Sintok: Seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif menyediaka­n sarapan percuma bagi mengelak pelajar mengikat perut kerana kemiskinan.

Program Free Food Corner yang bermula 10 Februari lalu di pekarangan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) itu sangat diperlukan pelajar apabila makanan diletakkan di ruang itu habis dalam tempoh sejam.

Pensyarah Komunikasi SMMTC, Sharina Samsudin, berkata program itu mendapat sumbangan kenalannya dalam kalangan alumni UUM, selain beberapa pensyarah pusat pengajian itu.

“Setiap hari saya menyediaka­n roti, nasi lemak dan bihun goreng dengan peruntukan RM50. Saya letak makanan pada jam 8 pagi dan selepas sejam, ia habis diambil.

“Program ini berjaya membantu pelajar dan yang penting, perut mereka terisi sebelum masuk kelas. Saya anggarkan 10 peratus daripada 20,000 pelajar UUM, terpaksa mengikat perut.

Pelajar tak mampu

“Jika makan pun, mereka memilih menu nasi putih, telur dan kuah sahaja berharga RM2.50. Kafe di sini juga banyak menyediaka­n menu berasaskan telur kerana mereka tahu ada pelajar tidak mampu membeli makanan berlauk ayam atau ikan,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Mimi Asmida Noor Azali, 23, berkata dia bersyukur dengan inisiatif diambil pensyarahn­ya berikutan jarang bersarapan untuk berjimat.

Katanya, ibu yang mengambil upah menjahit hanya mampu menyediaka­n wang saku kira-kira RM150 sebulan.

“Ibu saya ibu tunggal dan adik masih bersekolah. Pendapatan ibu kira-kira RM800 sebulan dan baki duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) banyak digunakan untuk tugasan.

“Saya makan nasi sekali sehari dan pada waktu petang atau malam, saya makan biskut, tetapi selepas ada program ini, saya dapat bersarapan dan fokus dalam kelas,” katanya yang berasal dari Segamat, Johor.

Bagi Siti Norshafiqa­h Abdullah, 23, sebagai anak penternak lembu secara kecil-kecilan, dia menganggap sarapan disediakan itu sebagai rahmat Allah.

“Idea pensyarah ini membantu pelajar seperti saya. Ada kala jika sudah makan nasi lemak disediakan, saya hanya makan roti pada sebelah petang,” katanya.

[FOTO AMRAN HAMID/BH]

Sharina (kanan) memberi makanan percuma kepada pelajar UUM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.