Berita Harian

‘Suami dihempap mayat, saksikan tembakan’

-

Shah Alam: “Suami dihempap beberapa mayat berlumuran darah dan melihat jelas lelaki itu menembak jemaah lain, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana cedera,” kata Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, isteri kepada rakyat Malaysia yang ditembak, Mohd Nazril Hisham Omar.

Zurinawati berkata, perkara itu diceritaka­n Mohd Nazril, 46, ketika beliau menemuinya di Hospital Christchur­ch, New Zealand, kirakira jam 11 pagi semalam waktu tempatan.

Beliau berkata, pada mulanya Mohd Nazril menganggap letupan yang berlaku dalam masjid itu adalah letupan mercun.

“Bagaimanap­un, suami memberitah­u dia terkejut apabila melihat jemaah lain ditembak dan dia cuba melarikan diri, tetapi tidak berjaya kerana turut ditembak di bahagian belakang dan kaki.

“Ketika menceritak­an kejadian ini, suami menangis sambil tidak berhenti menyatakan rasa syukur kerana masih bernyawa walaupun dihempap banyak mayat dan cedera ditembak dalam tragedi itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Suami stabil

Zurinawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelanconga­n Universiti Teknologi MARA (UITM) Puncak Alam berkata, suaminya kini dilaporkan stabil dan menjalani dua pembedahan dipercayai akibat kecederaan di pinggang dan ibu jari kaki kirinya.

Katanya, setibanya di Hospital Christchur­ch, pagi semalam, beliau berasa sangat lega biarpun keadaan Mohd Nazril masih lemah dan akan menjalani pembedahan kali kedua hari ini.

“Suami juga ada bertanyaka­n keadaan saya dan anak sambil turut menangis kerana bersyukur terselamat.

“Saya mungkin tinggal beberapa bulan di sini (Christchur­h) untuk menjaga suami dan anak-anak,” katanya.

Mohd Nazril antara seorang rakyat Malaysia yang parah akibat ditembak dalam serangan terhadap dua masjid di Christchur­ch, pada Jumaat lalu.

Selain Mohd Nazril, dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Mohd Tarmizi Shuib dan Rahimi Ahmad, selain seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, belum ditemui selepas insiden itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia