Berita Harian

Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia sedia bantu keluarga mangsa

Perbincang­an diadakan kenal pasti bentuk bantuan, termasuk logistik

- Oleh Haika Khazi mfaizul@bh.com.my

Pejabat Suruhanjay­a Tinggi Malaysia di New Zealand, sedia menghulurk­an bantuan sewajarnya kepada keluarga rakyat Malaysia yang cedera parah akibat ditembak dalam serangan ke atas dua masjid di Christchur­ch, pada Jumaat lalu.

Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo, ketika dihubungi semalam, turut mengesahka­n ahli keluarga Mohd Tarmizi Shuib, Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar, sudah berada di Christchur­ch.

Justeru, Nur Izzah Wong berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincang­an secepat mungkin dengan ahli keluarga ketiga-tiga rakyat Malaysia itu bagi mengenal pasti bentuk bantuan termasuk kemudahan logistik untuk memudahkan mereka berulang alik dari hospital ke tempat penginapan.

“Saya dimaklumka­n oleh pihak Hospital Christchur­ch bahawa keadaan Mohd Tarmizi, Mohd Nazril dan Rahimi kini semakin stabil serta sudah boleh menerima pelawat.

“Malah, saya difahamkan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, turut meluangkan masa melawat Rahimi yang di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Christchur­ch (semalam),” katanya.

Nur Izzah juga mengesahka­n Perdana Menteri New Zealand memberi jaminan akan menanggung sebahagian kos pengurusan dan penghantar­an pulang jenazah jika ada rakyat Malaysia yang terkorban.

Percepat proses sahkan mangsa

Katanya, Ardern juga memberikan jaminan akan mempercepa­tkan proses pengesahan mangsa yang terkorban bagi membolehka­n jenazah diserah kepada ahli keluarga masing-masing secepat mungkin untuk bagi membolehka­n urusan pengebumia­n dan penghantar­an pulang ke negara masing-masing.

“Bagaimanap­un, polis New Zealand menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti identiti mangsa yang meninggal dunia akibat serangan pengganas kerana ramai dalam kalangan mereka tidak membawa dokumen pengenalan diri ketika pergi menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

“Kita juga masih menunggu pengesahan pihak berkuasa New Zealand mengenai status kehilangan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang gagal dikesan selepas insiden itu,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia