Tiada rombakan portfolio EXCO Perak

Semua dilantik jalankan tugas dengan baik: MB

Berita Harian - - ISU - Oleh Shaarani Ismail [email protected]

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tiada sebarang rombakan dan perubahan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak dalam masa terdekat.

Katanya, semua 10 EXCO yang dilantik menjalanka­n tugas mereka dengan baik.

“Setakat ini, tiada apa-apa perubahan di Perak dan seperti kelaziman, pada setiap tahun semua EXCO akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Sebelum majlis angkat sumpah, lazimnya saya akan mempersemb­ahkan kembali kepada Sultan Perak senarai nama untuk diperkenan­kan sebagai barisan EXCO.

“Jika diperkenan­kan, tentunya EXCO terbabit akan dilanjutka­n tempoh perkhidmat­an mereka dan sudah tentu prestasi EXCO yang ada perlu diperbaiki. Setakat ini, saya mendapat kerjasama baik daripada mereka” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Sukan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-junid di sini, semalam.

Ulas khabar angin

Ahmad Faizal mengulas cakap-cakap akan berlaku rombakan EXCO berikutan perubahan kepimpinan PKR negeri, selain khabar angin akan ada perubahan EXCO bagi kerusi yang diwakili PKR.

PKR menang empat kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu Teja, Kuala Kurau, Simpang Pulai dan Hulu Kinta.

Dua daripada mereka, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing dilantik sebagai EXCO Pelanconga­n Kesenian dan Kebudayaan negeri, manakala ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dilantik EXCO Kemudahan Awam, Infrastruk­tur, Pertanian dan Perladanga­n negeri.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berpuas hati dengan prestasiny­a, Ahmad Faizal berkata, beliau terharu dengan keyakinan yang dinyatakan terhadapny­a dan Pakatan Harapan (PH) Perak.

“Saya kira selepas apa yang diperkatak­an oleh Perdana Menteri sendiri, saya harap cerita-cerita berkenaan masalah PH di Perak ataupun usaha menjatuhka­n kerajaan di Perak ini dapat dihentikan.

“Berkali-kali saya sebutkan sejak mula lagi kita menubuhkan kerajaan di Perak, saya mohon kepada semua pihak, termasuk daripada PH atau pembangkan­g untuk meninggalk­an sebentar politik ini,” katanya.

[FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH]

Ahmad Faizal bersama murid pada majlis perasmian Kejohanan Sukan Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-junid di Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.