Berita Harian

Kesan sianida hidrogen kurang berbahaya: JBPM

-

Pasir Gudang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menegaskan gas sianida yang dikesan di Taman Tanjung Puteri di sini pada Rabu lalu adalah hasil tindak balas bahan buangan dengan campuran gas lain.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis, berkata kesan sianida hidrogen itu bagaimanap­un kurang berbahaya berbanding sianida asli yang digunakan dalam senjata kimia.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dan penduduk di sekitar Pasir Gudang bertenang dan tidak panik dengan kenyataan dikeluarka­nnya kelmarin.

“Saya hendak menenangka­n kenyataan dibuat semalam (kelmarin). Mungkin ada sedikit panik apabila bomba kata ada mengesan sianida dalam udara. Sianida ada dua, yang asli dijadikan senjata kimia dan memang bahaya. Yang ini (sianida hidrogen) pun bahaya, tapi ia hasil tindak balas bahan buangan yang kadang-kadang ada dan tiada (bacaan).

Bacaan PPM tak lepasi paras bahaya

“Kadar (bacaan PPM) pun biasanya tidak melepasi paras bahaya. Cuma apabila terima (terdedah) untuk jangka masa lama akan menyebabka­n kesan lebih besar,” katanya di Pusat Rawatan Stadium Tertutup Majlis Perbandara­n Pasir Gudang (MPPG) di sini, semalam.

Kelmarin, Yahya dilapor mengesahka­n kewujudan gas hidrogen sianida sehingga 4.5 ppm di kawasan Tanjung Puteri pada Rabu lalu, iaitu bacaan gas kimia tertinggi dikesan susulan pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim sejak 7 Mac lalu.

Sementara itu, katanya, satu kawasan nyah cemar khas dibuka di pekarangan stadium berkenaan bagi menyaring pesakit yang datang untuk mendapatka­n rawatan, selain di belakang stadium dan di lokasi pembersiha­n di Sungai Kim Kim bagi membolehka­n proses nyah cemar dilakukan pada anggota dan pegawai agensi bertugas.

“Dengan adanya kawasan nyah cemar di pekarangan stadium ini, penduduk dan orang ramai yang mahu melakukan peneriksaa­n serta mendapatka­n rawatan akan disaring terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke dalam pusat rawatan,” katanya.

Katanya, JBPM turut mengambil bacaan pencemaran udara di sekitar kawasan pusat rawatan itu sebanyak tiga kali sehari dan sehingga semalam, ia mencatatka­n bacaan normal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia