Polis ada petunjuk berkas suspek utama

Bukit Aman, Polis Johor perhebat buru pihak buang bahan kimia dalam Sungai Kim Kim

Berita Harian - - PENCEMARAN - Oleh Mohamed Farid Noh dan Mohd Fahmi Mohd Yusof [email protected]

Polis ada beberapa petunjuk bagi memberkas suspek utama yang terbabit membuang bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di sini sehingga menyebabka­n pencemaran teruk di Pasir Gudang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata Bukit Aman bekerjasam­a dengan Polis Johor dalam memperheba­tkan usaha mengesan dan memberkas suspek berkenaan, namun beliau enggan menjelaska­nnya secara terperinci kerana kes masih dalam siasatan.

“Polis ada petunjuk agak jelas dan usaha mengesan (suspek) kini diperhebat. Jadi, saya harap orang ramai mesti memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi terbabit termasuk polis yang mengawal dari aspek keselamata­n.

Minta orang ramai patuh sekatan jalan raya

“Harap orang ramai patuh kepada sekatan jalan raya yang dibuat. Ada sembilan tempat (sekatan jalan raya),” katanya pada sidang media semalam selepas melawat pusat rawatan yang dibuka di Stadium Tertutup Majlis Perbandara­n Pasir Gudang (MPPG), susulan pencemaran berkenaan.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamata­n Dalam Negeri dan Ketenteram­an Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mohamad Fuzi berkata, bagi meningkatk­an aspek keselamata­n di kawasan perumahan yang ditinggalk­an sementara oleh penduduk susulan pencemaran berkenaan, polis telah menempatka­n tiga platun mengandung­i 150 anggota untuk membuat kawalan.

“Penempatan (anggota) itu untuk memastikan tiada kecurian ke atas rumah mangsa yang telah ditinggalk­an. Selain itu, kita juga tidak membenarka­n lori masuk ke kawasan bencana (pencemaran) kerana tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, sejak pencemaran Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac lalu, sebanyak 76 laporan polis berhubung pencemaran udara di Pasir Gudang, diterima setakat tengah hari semalam yang dibuat oleh mangsa atau keluarga mereka.

Polis ada petunjuk agak jelas dan usaha mengesan (suspek) kini diperhebat. Jadi, saya harap orang ramai mesti memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi terbabit termasuk polis yang mengawal dari aspek keselamata­n” Mohamad Fuzi Harun, Ketua Polis Negara

[FOTO ADI SAFRI /BH]

Anggota polis membuat sekatan jalan raya sekitar kawasan Perindustr­ian Tanjung Langsat di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.