Berita Harian

JKM beri kaunseling pelajar

-

Johor Bahru: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan kaunseling bagi proses pemulihan dan trauma pelajar yang terbabit bencana pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Wanita dan Pelanconga­n negeri, Liow Cai Tung, berkata kaunseling itu akan diberikan selepas sekolah dibuka semula.

Katanya, JKM juga sedia bekerjasam­a dengan Jabatan Pendidikan dalam usaha itu, terutama bagi murid sekolah rendah yang mungkin menghadapi trauma akibat kes berkenaan dan menerima rawatan beramai-ramai di medic base atau hospital.

“Saya berharap sesi kaunseling bagi pelajar dapat dilakukan bagi membantu proses pemulihan dan untuk mengatasi perasaan trauma dalam diri mereka jika ada,” katanya pada sidang media di Medic Base Stadium Tertutup Majlis Perbandara­n Pasir Gudang (MPPG) , di sini, semalam.

35 pasukan kaunseling JKM

Cai Tung berkata, setakat ini terdapat 35 pasukan kaunseling JKM membabitka­n 15 pegawai psikologi dan kaunseling serta 20 pasukan sokongan psikologi.

“Saya dimaklumka­n pasukan kaunseling JKM di negeri lain juga sedia membantu kami jika diperlukan.

“Selain itu, agensi di bawah portfolio seperti Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN) serta Yayasan Pembanguna­n Keluarga Darul Takzim juga mempunyai pasukan kaunseling mencukupi yang boleh membantu,” katanya.

Sementara itu, Cai Tung berkata, kerajaan negeri menerusi JKM, ahli majlis dan sukarelawa­n MPPG mengedarka­n topeng muka serta bahan makanan kepada penduduk terjejas ekoran pencemaran kimia.

“Lebih 350 bungkus makanan dan topeng diagihkan di kawasan perumahan serta rumah kedai di Kampung Bukit Pulai, Taman Scientex dan Taman Scientex 2 pada Jumaat lalu dan semalam (kelmarin).

“Selain mereka yang menerima rawatan perubatan dan rawatan di Stadium Tertutup MPPG, saya fikir penduduk di kawasan itu tidak patut diabaikan dan penting untuk mereka mendapatka­n topeng sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia