Lebih 120,000 huni sungai di Sarawak

Waspada serangan sang bedal terutama pada April, Mei

Berita Harian - - LAPORAN KHAS - Oleh Kandau Sidi dan Muhd Amirul Faiz Ahmad [email protected]

Sebanyak 120,000 ekor! Itu jumlah buaya dianggarka­n menjadi ‘penghuni tetap’ sepanjang 20,000 kilometer laluan sungai di Sarawak, dengan sebahagian besarnya bersaiz dewasa.

Justeru, andainya anda pernah ‘menjamah’ daging buaya, terutama bagi tujuan kesihatan, jangan sesekali memberanik­an diri ‘turun’ ke mana-mana sungai di Bumi Kenyalang jika masih sayangkan nyawa!

Komuniti buaya berkenaan sedia menanti ‘kunjungan’ anda untuk ‘membalas dendam’ disebabkan keupayaan reptilia pemburu ini menghidu bau daging ‘anggota keluarga’ mereka yang dimakan manusia.

Ia mungkin kedengaran agak aneh atau karut, namun perkara itu antara kepercayaa­n kuat masyarakat Iban dan Melayu di Sarawak, selain menepati sifat pendendam dimiliki ‘Sang Bedal’.

Dalam budaya masyarakat tempatan, reptilia itu dipercayai mampu mengenal pasti bau daging ‘saudaranya’ dalam tubuh manusia yang memakan daging berkenaan, sekali gus mengundang ancaman serangan ganas dan konflik dengan manusia.

Mitos setempat

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Hamden Mohammad, berkata sehingga kini dakwaan itu tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan sekadar menjadi kepercayaa­n mitos setempat.

Justeru, ia kekal menjadi pegangan penduduk tempatan, khususnya yang menetap di pesisir sungai.

“Orang Sarawak yang mengetahui pantang larang itu sehingga kini tidak berani ‘turun’ ke sungai sama ada untuk menangkap ikan atau menggunaka­n sungai sebagai laluan. Bagi kebanyakan penduduk negeri ini, buaya adalah hidupan penuh misteri yang sarat dengan pelbagai kisah aneh sukar dibuktikan.

“Bagaimanap­un, belum ada saintis sanggup memakan daging buaya dan turun ke sungai demi membuktika­n mitos buaya menyerang manusia yang pernah memakan daging reptilia itu sekadar kepercayaa­n karut semata-mata,” katanya ketika ditemui NSTP , di sini, baru-baru ini.

Hamden ketika mengulas lanjut berkata, pantang larang itu juga, termasuk memakan telur buaya yang dikategori­kan makanan eksotik.

“Sebagai agensi bertanggun­gjawab melindungi buaya di Sarawak, JHS sejak 2016 sudah membenarka­n pemburuan buaya bagi tujuan penakaian (culling) mahupun bagi tujuan komersial, selepas mengambil kira populasi buaya yang semakin meningkat sehingga mengundang serangan terhadap manusia,” katanya.

50 permit khas

Hamden berkata, sehingga kini, 50 permit khas dikeluarka­n bagi membenarka­n pemburuan buaya bagi tujuan komersial, namun atas kekangan pasaran terhad di Sarawak, aktiviti pemburuan itu tidak mendapat sambutan.

“Jika mahu memasarkan daging buaya ke luar negara, ia proses sukar kerana ada beberapa peraturan ketat, terutama untuk memasarkan daging buaya,” katanya.

Hamden berkata, kes serangan buaya terhadap manusia berlaku jika sumber makanan haiwan itu semakin susut, sehingga ia menyasarka­n manusia sebagai pilihan akhir untuk kekal hidup dalam kawasan habitatnya.

“Buaya katak memakan udang dan ikan, termasuk monyet yang bergayut di kawasan pesisir sungai. Jadi, serangan buaya boleh terjadi andai sumber makanan seperti ikan semakin susut kerana manusia juga menangkap ikan di sungai,” katanya.

Beliau berkata, pertembung­an keperluan mendapatka­n makanan asas menjadikan konflik antara manusia dengan buaya seperti tidak dapat dielakkan, terutama di pedalaman dan luar bandar.

Beliau berkata, April dan Mei berpotensi membawa lebih banyak serangan ganas buaya di negeri ini berikutan reptilia berkenaan memasuki ‘musim mengawan’, sekali gus menjadikan­nya sangat agresif, termasuk menyerang manusia.

“Justeru, penduduk Sarawak yang kerap menggunaka­n sungai perlu berhati-hati kerana risiko serangan cukup tinggi pada bulan berkenaan,” katanya.

Hamden berkata, buaya katak betina bertelur selepas lima bulan selesai mengawan, iaitu pada lingkungan September dan Oktober, dengan sekali bertelur membabitka­n lapan hingga 10 biji telur.

Populasi buaya di negeri ini sebanyak 120,000 ekor buaya katak (crocodylus porosus), tidak termasuk buaya jejulong (tomistoma schlegelii) yang hampir sama jumlah penduduk di Selangau, Song, Tarat, Matu, Julau, Pakan dan Daro, adalah fakta yang cukup menggerunk­an.

Penduduk Sarawak yang kerap menggunaka­n sungai perlu berhati-hati kerana risiko serangan cukup tinggi pada April dan Mei” Hamden Mohammad, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.