Berita Harian

Indeks dijangka menurun

Penurunan prestasi ekuiti AS beri kesan penyusutan pasaran tempatan

-

Prestasi rendah ekuiti Amerika Syarikat (AS) selepas berakhirny­a sesi dagangan minggu lalu, penurunan penanda aras minyak mentah Brent serta jangkaan pemangkin baharu pada Invest Malaysia, dijangka memberi kesan kepada Bursa Malaysia minggu ini.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan, berkata ekuiti AS ditutup rendah pada Khamis, selepas kembali bergerak ke paras tertinggi November di S&P 500 susulan perkembang­an terbaru perang perdaganga­n, Perbendaha­raan AS menyusut dan minyak mentah Brent turun satu dolar daripada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan untuk menghentik­an penyusutan saham tenaga Eropah.

“Sehubungan itu, kami mengekalka­n pandangan kami bahawa pada minggu ini Bursa Malaysia akan berada pada aliran menurun ke paras 1,650,” katanya.

Bursa tempatan dijangka kekal rendah selepas laporan pendapatan lemah oleh syarikat tempatan dan daripada perspektif asas.

Menurut Nazri, prestasi suram itu dijangka berlanjuta­n, berdasarka­n kadar pengambila­n pekerja yang mencatatka­n penurunan tiga peratus tahun ke tahun.

“Daripada perspektif pelabur, kami melihat ini sebagai pembetulan kecil, dengan pasaran memberi diskaun kepada pembeli selaras dengan hakikat bahawa syarikat asing semakin yakin dengan Bursa Malaysia. Ini akan membendung kelemahan prestasi dalaman selepas laporan pendapatan kurang memberangs­angkan.

“Bagi prospek minggu ini, pelabur perlu mengelak sektor bermusim, dan perlu beri tumpuan pada sektor produk pengguna dan sektor tenaga,” katanya.

Sementara itu, Penganalis­is Teknikal Maybank Investment Bank, Nik Ihsan Raja Abdullah, berkata wujud kemungkina­n bagi pengambila­n untung di kaunter barisan ketiga, berdasarka­n prestasi mereka pada minggu yang baru berakhir.

“Saya jangka tiada pergerakan besar minggu ini, dengan urus niaga FBM KLCI antara 1,670 hingga 1,690 berikutan pasaran sedang menunggu pemangkin baharu, dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumka­nnya dalam ucapan beliau pada Invest Malaysia, yang boleh dianggap akan memberikan lebih kejelasan kepada pasaran,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI ditutup 0.64 mata lebih tinggi kepada 1,680.54. Indeks FBM Emas meningkat 19.95 mata kepada 11,759.18, Indeks FBMT 100 naik 12.24 mata kepada 11,602.72 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 10.26 mata kepada 11,748.08.

FBM 70 melonjak 47.29 mata kepada 14,209.07 dan Indeks FBM Ace naik 144.12 mata kepada 4,834.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmat­an Kewangan meningkat 44.72 mata kepada 17,537.11, Indeks Produk dan Perkhidmat­an Perindustr­ian menokok 1.44 mata kepada 170.70 dan Indeks Perladanga­n turun 7.95 mata kepada 7,256.19.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 19 bilion unit bernilai RM13.22 bilion daripada 14.55 bilion unit bernilai RM11.43 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 15.25 bilion saham bernilai RM12.36 bilion daripada 10.47 bilion saham bernilai RM10.53 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 2.14 bilion unit bernilai RM449.56 juta berbanding 2.65 bilion unit bernilai RM577.32 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat sedikit kepada 1.45 bilion saham bernilai RM356.27 juta berbanding 1.42 bilion saham bernilai RM316 juta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia