Berita Harian

Guru labur syarikat kopi rugi RM152,000

-

Kuantan: Seorang lagi mangsa skim cepat kaya di sini membuat laporan polis akibat rugi RM152,050 selepas membuat pelaburan tunai dengan syarikat pengeluar kopi terkenal.

Guru wanita berusia 48 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini, semalam selepas tidak lagi menerima pulangan seperti dijanjikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superinten­den Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata berdasarka­n laporan mangsa, pada April 2015, dia diperkenal­kan rakannya satu pelaburan oleh sebuah syarikat pengeluar kopi terkenal.

“Empat pakej ditawarkan kepadanya iaitu berjumlah RM1,000, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000 dengan ahli yang membuat pelaburan akan menerima satu perempat pulangan dalam bentuk produk, termasuk kopi dan tiga perempat pulangan dalam berbentuk wang.

Syarikat beri alasan

“Mangsa secara keseluruha­n melabur RM190,000 dan hanya menerima pulangan lebih kurang sebanyak RM37,950,” katanya pada kenyataan media di sini semalam.

Beliau berkata, bermula November 2016, mangsa tidak lagi menerima sebarang pulangan dan pihak syarikat memberikan alasan bahawa program serta pakej sedang dinaik taraf bagi keuntungan yang lebih tinggi untuk ahli.

“Namun sehingga kini, mangsa tidak mendapat sebarang maklum balas yang positif daripada pihak syarikat. Mangsa berasa tidak berpuas hati dan membuat laporan polis semalam,” katanya.

Menurutnya, suspek menawarkan pelaburan yang dijanjikan dengan pulangan setiap bulan sehingga mendorong mangsa memasukkan wang untuk dilaburkan serta mengalami kerugian.

“Polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia