Berita Harian

Kedah catu air di Merbuk, Semeling ekoran cuaca panas

-

Alor Setar: Kerajaan negeri membuat catuan bekalan air di kawasan Merbuk dan Semeling, susulan cuaca panas melampau sejak bulan lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, pihaknya mendapati beberapa kawasan kritikal mengalami gangguan air memerlukan bantuan bekalan, manakala beberapa kawasan lain turut dilaporkan terjejas, tetapi tidak teruk hingga memerlukan pengisytih­aran darurat.

“Saya kadang kala terasa seperti nak isytihar darurat apabila melihat keadaan itu, tetapi dimaklumka­n, pendekatan kita ambil setakat ini akan dapat mengurangk­an bebanan dengan memberi tumpuan penyelesai­an jangka pendek dan panjang.

“Melihat keadaan sekarang, rakyat mahukan penyelesai­an segera dan kita menggunaka­n penyelesai­an jangka pendek seperti mencatu air, malah mengikut kiraan, sudah ada 23 lori air dibantu tangki serta Loji Rawatan Air (LRA) bergerak.

“Kita sudah kerahkan apa diperlukan dan turut membabitka­n pihak swasta. Catuan bergantung kepada tempat,” katanya selepas Perhimpuna­n bulanan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), di sini semalam.

Tempatkan LRA bergerak

Mengenai pembabitan pihak swasta itu, Mukhriz berkata, LRA bergerak dicadang ditempatka­n di Semeling yang memerlukan bekalan air disuling dan dirawat.

“Ini membantu kerajaan negeri menyalurka­n bekalan air bersih, malah Kerajaan Pusat juga sedia membantu apa diperlukan selepas perbincang­an kami baru-baru ini. Namun, rakyat perlu bijak menggunaka­n air, jangan melakukan pembaziran seperti membasuh kereta dua hingga tiga kali seminggu,” katanya.

Minggu lalu, Kedah menerima bantuan 13 lori tangki daripada enam operator air negeri lain bagi membekalka­n air ke sekitar kawasan terjejas akibat cuaca panas ketika ini.

Jurucakap Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkata, pihaknya menerima bantuan lori tangki Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Pengurusan Air Selangor (AIS) dan Syarikat Air Terengganu SATU).

“Antara kawasan mengalami gangguan bekalan di daerah Kuala Muda iaitu Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, di Rembau, kawasan seluas 4.9 hektar hutan di Batu 5 1/2, Kampung Kundur Hulu di sini, terbakar dipercayai akibat cuaca panas.

Komander Operasi, Mohd Siraj Abdullah berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 7.03 malam kelmarin, seramai 17 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Tampin dan Seremban dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba bersama tiga jentera, pihaknya mendapati api marak membakar kawasan hutan.

“Tindakan awal dilakukan adalah mengawal api daripada merebak ke kawasan penempatan penduduk.

“Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 11.30 malam,” katanya di sini, semalam.

 ?? [FOTO IHSAN BOMBA] ?? Kebakaran hutan seluas 4.9 hektar di Batu 5 1/2, Kampung Kundur Hulu, Rembau dipercayai akibat cuaca panas.
[FOTO IHSAN BOMBA] Kebakaran hutan seluas 4.9 hektar di Batu 5 1/2, Kampung Kundur Hulu, Rembau dipercayai akibat cuaca panas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia