Puisi kritik tapi lunak perlu dalam masyarakat

Berita Harian - - SASTERA & BUDAYA -

Kuala Lumpur: Himpunan katakata melalui puisi menjadi cetusan mengungkap pelbagai rasa tanpa sempadan, sekali gus menjadi bentuk kritikan yang diperlukan dalam masyarakat.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata kritikan melalui puisi membolehka­nnya disampaika­n dengan cara yang lebih lunak.

“Dalam kehidupan pastinya ada sisi yang perlu ditegur dan dikritik hingga puisi membolehka­n peringatan diberi secara lebih lembut.

“Ini tentunya penting terutama apabila kita membuat kritikan kepada masyarakat,” katanya pada Malam Baca Puisi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)-DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) di Rumah PENA, di sini.

Yang turut hadir, Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad; Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidik­an DBP, Dr Mohd Hanafi Ibrahim.

Shamsul Iskandar baca puisi

Shamsul Iskandar turut membaca dua puisi termasuk Demokrasi Kebun Binatang karya penyair Indonesia, Taufik Ismail.

Shamsul Iskandar berkata, pengarang hebat dari negara jiran itu antara yang berjaya menjadi kritis tetapi masih mengekalka­n demokrasi dalam karyanya.

“Saya peminat Taufik dan turut terkesan dengan karya dihasilkan­nya. Beliau antara penyair yang berjaya mencerakin­kan peristiwa penting dalam sejarah sosio-politik di negaranya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Saleeh ketika mengalu-alukan kedatangan Shamsul Iskandar berkata dunia sastera dan politik saling tidak boleh dipisahkan malah kedua-duanya menyumbang kepada satu sama lain.

“Oleh itu tidak sepatutnya ada prasangka antara sastera dan politik. Dunia sastera sering kritis kepada dunia politik tetapi tujuannya mulia demi pembanguna­n bangsa serta agama.

“Ini perlu difahami supaya tidak timbul sebarang perasaan kurang enak,” katanya.

Acara baca puisi santai itu menghimpun­kan penggiat bahasa dan sastera tanah air serta turut dihadiri penggiat dari negara jiran termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

Selain menyediaka­n pentas berpuisi, acara yang berlangsun­g pada Jumaat pertama setiap bulan itu, turut menyediaka­n ruangan jualan buku yang membolehka­n khalayak mendapatka­n karya terbaru dan lama.

[FOTO ROHANIS SHUKRI/BH]

Shamsul Iskandar bersama Mohamad Saleeh (dua dari kanan) serta tetamu jemputan pada Malam Baca Puisi di Rumah PENA, Kuala Lumpur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.