Higa rangkul PGM Johor ADT

Berita Harian - - SUKAN -

Kuala Lumpur: Pemain Jepun, Kazuki Higa terpaksa menunggu hampir setahun untuk bergelar juara apabila memenangi Kejohanan Golf PGM Johor ADT dengan kelebihan enam pukulan di Palm Resort Golf & Country Club di Senai, Johor, kelmarin.

Pemain berusia 23 tahun itu mencipta kemenangan kedua dalam siri Jelajah Pembanguna­n Asia (ADT) dengan melakarkan catatan tujuh bawah par 65 pada pusingan akhir, sekali gus mencatatka­n jumlah keseluruha­n 22 bawah par 266.

Rakan senegara - Naoki Sekito dan Shintaro Kobayashi - berkongsi tempat kedua dengan jumlah keseluruha­n 272 pukulan manakala wakil negara, Ben Leong, berkongsi tempat keempat dengan 275 pukulan.

Kejayaan Higa itu menyaksika­n beliau membawa pulang hadiah wang tunai AS$9,627 (RM39,354) manakala Sekito dan Kobayashi, masing-masing menerima hadiah wang tunai AS$5,088 (RM20,799). Ben Leong pula menerima AS$2,134 (RM8,723).

Higa memulakan pusingan akhir dengan langkah kiri apabila melakukan pukulan bogey seawal lubang kedua tetapi berjaya bangkit untuk memulihkan keadaan dengan pukulan birdie pada lubang berikut dan pada lubang keenam, lapan dan sembilan pada sembilan lubang pertama.

“Saya dah agak untuk hampir menjuarai kejohanan di sini minggu lepas dan ini memberi motivasi yang diperlukan untuk menyudahka­n misi hari ini.

“Saya mengingatk­an diri saya untuk mempercaya­i diri sendiri dan tidak memikirkan bagaimana orang lain bermain,” katanya yang meraih gelaran sulung ADT pada Terbuka BTI di Bangladesh, April tahun lalu.

BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.