Berita Harian

Peluang dapat penajaan lebih besar

MFL perlu berdepan cabaran baharu susulan kelembapan ekonomi

- Oleh Syafiq Aznan

Selepas berpisah dengan Telekom Malaysia (TM) selaku penaja rasmi sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini berdepan cabaran baharu khususnya bagi meyakinkan pelabur berpotensi yang mampu menjadi ‘penyelamat’.

Ia selepas keadaan ekonomi negara dan perniagaan yang tidak menentu ketika ini mungkin menyukarka­n badan pengendali liga itu untuk mendapatka­n tajaan sebesar yang pernah ditawarkan syarikat telekomuni­kasi itu sebelum ini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim mengakui situasi terbabit namun menegaskan ini membuka peluang kepada MFL untuk mendapatka­n suntikan penajaan yang lebih besar berdasarka­n kontrak setahun ke setahun berbanding kontrak secara bayaran penuh.

Tak mudah dapat penaja

“Bukan mudah dapat penaja dalam keadaan sekarang. MFL perlu buktikan kepada prospek penaja kelebihan yang bakal mereka terima dari pelaburan mereka.

“Dari sudut positif, ini peluang MFL untuk mendapatka­n suntikan penajaan lebih besar untuk musim akan datang, mungkin boleh diusahakan RM100 juta setahun daripada pelbagai penaja berbanding RM60 juta setahun daripada satu penaja.

“Ini kerana MFL turut mempunyai tanggungja­wab besar kepada pemegang taruh Liga Malaysia di mana pasukan wajar menerima perkongsia­n hasil pendapatan dari penajaan selain hak penyiaran, sekali gus membantu khususnya pasukan di liga bawahan” katanya ketika dihubungi BH Sukan.

Pelbagai peringkat penajaan

Dalam masa sama, Zakaria menjelaska­n badan pengendali liga itu tidak seharusnya sekadar mengharapk­an satu syarikat untuk memonopoli penajaan liga.

Sebaliknya, ia boleh dibahagika­n kepada pelbagai peringkat penajaan dan pendedahan kepada penaja bagi menarik minat mereka untuk melabur dalam liga bola sepak negara.

“Sekarang terserah kepada MFL untuk membentuk pakej penajaan yang menarik dan berbaloi kepada mana-mana syarikat korporat, pengeluar produk atau pemilik jenama untuk melakukan pelaburan.

“Tempoh penajaan juga haruslah bersesuaia­n di mana saya melihat tempoh lapan tahun yang diikat seperti sebelum ini agak keterlalua­n bagi penajaan swasta.

“Situasi ini secara tidak langsung akan memberi impak negatif kepada syarikat lain yang berminat kerana memberi persepsi monopoli,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia