Berita Harian

Anwar minta 3 negeri segerakan agih dana khas

-

Kuala Lumpur: Kementeria­n Kewangan merangka peruntukan khusus bagi membantu menyelesai­kan isu mahasiswa universiti awam (UA) yang terpaksa ‘mengikat perut’ dalam mengawal perbelanja­an, khususnya di Universiti Malaya (UM).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkembang­an itu dimaklumka­n Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika mereka membincang­kan isu mahasiswa daripada golongan B40 di UM seperti dilaporkan BH, kelmarin.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, tiga kerajaan negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut diminta menyegerak­an peruntukan khas kepada mahasiswa kurang bernasib baik di negeri masing-masing.

“Saya menyuaraka­n isu ini di Dewan Rakyat kerana ia isu besar. Saya juga bercakap dengan tiga Menteri Besar untuk menyegerak­an peruntukan khas.

Tampung kekurangan

“Tak perlu banyak pun peruntukan itu, kalau bagi RM100 sebulan pun boleh menampung kekurangan dialami ketika ini.

“Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sudah bertindak, saya percaya negeri lain bakal menyusul.

“Menteri Kewangan merangka peruntukan lebih besar, tapi proses itu tentunya akan mengambil sedikit masa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

BH Ahad dalam laporan muka depan mendedahka­n sebilangan pelajar universiti itu terpaksa ‘mengikat perut’ dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.

UM turut mengenal pasti 1,000 mahasiswan­ya tergolong dalam kategori miskin tegar dinamakan BL40 yang ditakrif universiti itu, iaitu isi rumah berpendapa­tan RM1,000 ke bawah sebulan.

Susulan pendedahan BH, Anwar dilaporkan meminta kakitangan­nya mendapatka­n maklumat segera daripada pihak pentadbira­n dan persatuan pelajar UM berhubung isu berkenaan.

Langkah segera

Terdahulu, Anwar ketika membahaska­n titah diraja, menegaskan masalah dihadapi mahasiswa itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu ditangani segera.

“Mesti ada langkah segera, seperti masalah dihadapi nelayan kini membebani mahasiswa, maka jangan ditangguh sehingga dua minggu (untuk beri bantuan).

“Kita bukan di Somalia atau Sudan. Ini Malaysia. Kalau dengar masalah, kena ambil tindakan segera. Universiti perlu ambil tindakan, kementeria­n juga perlu ambil tindakan untuk selesaikan masalah ini.

“Saya tidak fikir sesiapa di negara ini boleh terima kenyataan apabila ada mahasiswa hadapi masalah makanan dan dibiarkan berlarutan beberapa minggu,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) berterima kasih kepada Guan Eng atas kesediaan menyediaka­n peruntukan dalam bajet tambahan untuk mengurangk­an beban dan tekanan rakyat, termasuk pelajar kekurangan makan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia