Berita Harian

Jenazah Tengku Puan Zanariah disemadi di Makam Diraja

-

Johor Bahru: Jenazah bonda Sultan Johor, Tengku Puan Zanariah Almarhum Tengku Ahmad, selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, pada jam 2 petang semalam.

Almarhumah disemadika­n sebaris dengan makam bondanya, Che Puan Hajjah Fatima Abdul Hamid.

Sebelum pemakaman, bacaan talkin dan tahlil diketuai Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Jenazah Almarhumah tiba di Makam Diraja itu dengan menaiki ambulans peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim turut berangkat mengiringi jenazah bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Berangkat sama, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Upacara penghormat­an

Terdahulu, jenazah Almarhumah turut disemayamk­an di Balai Mengadap Istana Bukit Serene untuk upacara penghormat­an terakhir.

Yang di-pertuan Agong, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h turut berkenan berangkat memberikan penghormat­an terakhir.

Berangkat sama, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullai­l serta Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Berita kemangkata­n Almarhumah Tengku Puan Zanariah pada usia 79 tahun malam kelmarin diumumkan menerusi laman Facebook dan Instagram Sultan Johor, jam 8.10 pagi semalam.

Almarhum Tengku Puan Zanariah ialah Raja Permaisuri Agong yang kelapan ketika Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ismail menjadi Yang di-pertuan Agong dari 1984 hingga 1989.

 ??  ?? Jenazah Tengku Puan Zanariah dibawa keluar dari Istana Bukit Serene untuk dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru, semalam.
Jenazah Tengku Puan Zanariah dibawa keluar dari Istana Bukit Serene untuk dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia