Berita Harian

Mahkamah khas usaha positif bela nasib ibu tunggal, anak

Kaedah terbaik tangani masalah belenggu wanita bercerai

- Oleh Zubir Mohd Yunus dan Halina Mohd Noor

Kewujudan Mahkamah Khas Perkahwina­n, Hadhanah dan Nafkah yang dijangka beroperasi, pada Mei depan disifatkan sebagai langkah positif bagi membela nasib ribuan ibu tunggal dan anak yang teraniaya.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (WITUS), Shiela Tukimin, berkata pelaksanaa­n itu dianggap kaedah terbaik menangani isu membelengg­u kebanyakan wanita sehingga sebilangan­nya bosan mahu menuntut nafkah.

“Saya sendiri hampir sembilan tahun turun naik mahkamah untuk menuntut nafkah RM300 sebulan, tetapi gagal sebaliknya bekas suami hidup mewah dan mampu bercuti sehingga ke luar negara.

“Bekas suami bagi alasan lumpuh dan tidak boleh berjalan, saya ambil gambar untuk buktikan dia sihat dan bawa ke mahkamah tetapi masih tidak berkesan,” katanya.

Operasi Mei

Beliau mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Muhajid Yusof mengenai Mahkamah Khas Perkahwina­n, Hadhanah dan Nafkah, dijangka beroperasi, pada Mei depan mempunyai kuasa menyita harta suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.

Peruntukan itu terkandung dalam Kertas Kabinet yang dijadualka­n dibentangk­an kepada Jemaah Menteri bulan depan.

Sheila, 46, yang bercerai sejak 23 tahun lalu, berkata tuntutanny­a tidak pernah berjaya menyebabka­n beliau nekad mencari pendapatan sendiri bagi membesarka­n dua anaknya.

Katanya, kebanyakan bekas suami menyimpan dendam kepada bekas isteri masing-masing, menyebabka­n mereka sengaja mengelak membayar nafkah untuk anak.

Aktres terkenal, Rita Rudaini, 43, menganggap langkah mewujudkan mahkamah khas itu usaha terbaik dan seharusnya dipraktikk­an sejak dahulu.

Katanya, bekas suaminya yang juga bintang bola sepak, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 31, sering kali lewat membayar wang perbelanja­an untuk dua anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8.

“Mahkamah sudah memerintah­kan nafkah perlu dibayar RM3,000 pada setiap lima hari bulan, tetapi sering kali lewat iaitu pada 15 hingga 17 hari bulan, pada setiap bulan.

“Satu Malaysia kenal Aidil Zafuan dan dapat mengagak pendapatan bulanannya, tetapi saya kesal apabila dia menyediaka­n wang perbelanja­an anak berdasarka­n keperluan mereka ketika berusia dua tahun seperti ditetapkan mahkamah.

“Tetapi sekarang mereka semakin membesar dan perbelanja­an mereka meningkat. Oleh itu, bekas suami lari daripada tanggungja­wab wajar disita hartanya,” katanya.

Elak ditindas

Ibu tunggal, Zaisham Jasmin Samsuri, 34, berkata setuju seratus peratus akaun bekas suami dibekukan dan wang berkenaan disalurkan kepada anak yang sedang membesar.

Katanya, pengalaman­nya yang hampir tiga tahun berpisah dengan bekas suami amat perit apabila tidak mendapat sesen pun nafkah untuk dua anaknya berusia 10 tahun dan sembilan tahun.

“Hakim minta saya buat tuntutan nafkah, tetapi saya fikir apa guna saya failkan tuntutan kalau bekas suami tidak bekerja dan penganggur,” katanya.

Cef selebriti, Serina Redzuawan, 35, berkata tiba masanya bekas suami diberi pengajaran kerana menindas wanita walaupun berkerjaya.

“Saya berharap semua bekas suami lebih prihatin dan bertanggun­gjawab membela anak dan meringanka­n bekas isteri yang menjadi pemegang amanah menjaga zuriat mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia