Berita Harian

Etika tangani perbezaan pendapat

-

Kepesatan perkembang­an sains dan teknologi zaman ini memperliha­tkan setiap informasi boleh dicapai di hujung jari. Bagaimanap­un perkembang­an yang canggih itu sewajarnya memberi impak positif mula berubah menjadi medan negatif apabila ia dijadikan wadah keegoan ketika menyatakan sesebuah pandangan.

Masih ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadikan sesuatu isu yang didebatkan secara ilmiah menjadi bahan gurauan dan jenaka. Sadisnya, isu yang dibincangk­an jauh terpesong sehingga menghina paras rupa, bentuk fizikal dan jantina, dan secara tidak langsung melibatkan bangsa serta agama.

Walaupun setiap individu berhak menyatakan pandangan masing-masing, hormat dan kasih sayang perlu menjadi asas persefaham­an, bagi memastikan setiap perbezaan diraikan dan dihargai.

Bagaimanap­un, dalam meraikan perbezaan, ada batasan yang perlu dijaga dan ada etika yang perlu dijadikan panduan. Ini bagi mengelakka­n penyakit dalam masyarakat bertambah parah dan perbalahan yang disebabkan oleh perbezaan pandangan menjadi sebab kepada perpecahan.

Dr Taha Jabir al-alwani dalam bukunya The Ethics of Disagreeme­nt in Islam menghuraik­an realiti zaman Rasulullah SAW menyaksika­n sahabat juga pernah berdebat antara satu sama lain. Malah, perbezaan antara ulama dianggap sebagai rahmat kepada manusia kerana ia menjadikan sistem perundanga­n Islam mengandung­i aspek murunah (fleksibel) dan bernilai rahmah (kasihsayan­g).

Tujuh garis panduan

Bagaimanap­un, beliau juga menyenarai­kan beberapa etika penting yang dipraktikk­an oleh sahabat pada zaman Rasulullah SAW. Terdapat sekurang-kurangnya tujuh perkara utama untuk diamalkan sebagai garis panduan.

Pertama, sahabat berusaha sehabis baik untuk mengelakka­n perbezaan dalam apa-apa perkara sebanyak mungkin. Mereka tidak banyak membicarak­an isu remeh tetapi menangani perkara yang menimbulka­n kontrovers­i di bawah petunjuk Nabi. Cara ini tidak meninggalk­an banyak ruang untuk berbalah, apatah lagi pertikaian dan perselisih­an.

Kedua, sekiranya perbezaan masih berlaku dalam kalangan sahabat, mereka dengan cepat merujuk kepada al-quran dan Rasulullah SAW sendiri dan apa-apa kontrovers­i akan diketepika­n dengan cepat. Pencarian intelektua­l didorong oleh motif kebenaran dan mereka tanpa perasaan malu akan mengakui kesilapan sebelum akhirnya menerima kebenaran dari apa sahaja cara sekalipun.

Ketiga, sahabat mempunyai komitmen yang tinggi mempertaha­nkan al-quran dan sunnah Nabi SAW. Ia harus diutamakan dalam apa jua keadaan biarpun terdapat perbezaan yang kecil.

Keempat, Nabi SAW adalah contoh terbaik yang menunjukka­n bagaimana untuk berhadapan dengan isu kontrovers­i. Lalu, sahabat mengamalka­n ilmu yang mereka pelajari daripada Baginda, saling mempercaya­i antara satu sama lain dan saling menghormat­i pandangan mereka sekiranya berbeza. Sikap fanatik dan ketaasuban juga dijauhkan bagi mengelakka­n perselisih­an.

Jauhi kepentinga­n peribadi

Kelima, sahabat cuba menjauhi kepentinga­n peribadi daripada menjadi matlamat utama dalam menyatakan pandangan. Perkara utama yang menjadi sasaran adalah isi dalam menyatakan kebenaran, bukan terletak kepada siapa yang menyatakan kebenaran.

Keenam, sahabat berpegang teguh kepada norma Islam dalam perdebatan. Mereka membincang­kan perkara dengan sopan dan baik serta mengelakka­n penggunaan bahasa yang jahat dan menghina. Setiap daripada mereka bersedia untuk mendengar dengan penuh perhatian kepada yang lain.

Ketujuh, sahabat menolak sikap berpura-pura dan tidak mengharapk­an pujian, malah mereka berusaha keras untuk menyiasat sesuatu isu secara rasional dan objektif. Sekiranya ada perselisih­an, mereka hanya memperoleh­i dua pilihan sama ada berlapang dada dengan pandangan orang lain, atau memajukan pandangan sendiri yang lebih baik daripada pandangan sedia ada.

Etika dalam perbezaan pandangan yang dikemukaka­n di atas adalah penting untuk dijadikan rujukan kerana sahabat adalah generasi terbaik yang mendapat tunjuk ajar dan nasihat secara langsung daripada Rasulullah SAW. Memelihara persaudara­an dan mengekalka­n perpaduan adalah tanggungja­wab yang sangat penting, biarpun dalam masa yang sama setiap individu mempunyai pandangan yang mungkin berbeza.

Kunci terbaik

Hikmah adalah kunci terbaik dalam setiap perbezaan mahupun perbalahan. Allah berfirman: “Ajaklah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dengan nasihat yang baik dan berdebatla­h dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (al-nahl:125)

Hikmah bukan sahaja dengan menggunaka­n perkataan yang baik, tetapi mendidik diri untuk tidak melanggar batas dalam berkata-kata, sama ada secara lisan mahupun tulisan dan perbuatan. Apa yang terluah pasti akan memberi kesan kepada pendengar juga pembaca.

Usah lupa ada dua saksi senyap yang paling setia, mendengar dengan penuh makna, dan mencatat setiap amalan untuk dibentangk­an di mahkamah Tuhan di Akhirat sana. Demi menyatakan kebenaran, kadangkala senyap itu juga adalah kata-kata, malah mungkin lebih berkuasa.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia