Berita Harian

Debaran Chong Wei

Doktor pakar di Taiwan bakal buat pengesahan tahap kesihatan jagoan negara

- Oleh Helmi Talkah

Keputusan sama ada jaguh perseorang­an lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dibenarkan beraksi atau tidak pada saingan Terbuka Malaysia, bulan depan diketahui selepas dia bertemu doktor pakar yang merawatnya pada jam 11 pagi ini.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu ketika ini berada di Taiwan bagi menjalani pemeriksaa­n kesihatan bagi membolehka­n dia membuat kemunculan semula dalam kejohanan antarabang­sa bermula pada Terbuka Malaysia.

Chong Wei, 37, terpaksa berehat panjang selama lapan bulan selepas disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata Chong Wei pada hari ini hanya melakukan pemeriksaa­n saringan awal dan akan bertemu doktor pakarnya esok.

Mula 2 April

“Saya baru bercakap dengan Chong Wei sebentar tadi dan dia memberitah­u yang hari ini dia hanya lakukan pemeriksaa­n biasa termasukla­h membuat ujian darah dan sebagainya. Esok barulah dia bertemu dengan doktor pada jam 11 pagi.

“Jadi, keputusan (boleh atau tidak dia beraksi) hanya akan diketahui selepas itu. Untuk hari ini saya boleh sahkan tiada sebarang keputusan lagi,” kata Norza kepada BH Sukan.

Kejohanan kompetitif terakhir disertai Chong Wei adalah pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu yang menyaksika­n dia terkandas di separuh akhir.

Saingan Terbuka Malaysia akan berlangsun­g di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 2 hingga 7 April.

Chong Wei yang juga juara bertahan diundi bertemu pilihan kelapan dari India, K Srikanth untuk aksi pusingan pertama. Dia sudah 12 kali muncul juara Terbuka Malaysia.

 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] ?? Chong Wei ketika latihan di Akademi Badminton Malaysia.
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN/BH] Chong Wei ketika latihan di Akademi Badminton Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia