Berita Harian

6 ‘projek sakit’ di Sarawak gagal siap ikut jadual

Kerajaan tidak beri muka kontraktor tidak kompeten, cuai dan malas

- Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

Enam projek infrastruk­tur bernilai RM1.677 bilion di Sarawak diklasifik­asikan sebagai ‘projek sakit’ berikutan kelewatan kerja-kerja pembinaan sehingga gagal disiapkan mengikut jadual.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata selain Hospital Sri Aman, projek lain yang bermasalah ialah Pusat Pembanguna­n Baka Induk Udang Galah di Santubong; Jalan Akses ke Empangan Baleh; Pos dan Kuarters Imigresen Ba’kelalan; Jejak Warisan dari Kampung Sungai Bintangor ke Esplanade Kuching dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Semuja.

Teliti punca

“Jawatankua­sa Majlis Tindakan Negeri (MTNG) Sarawak bersikap terbuka untuk memahami apa sebenarnya punca kepada kelewatan ini daripada pihak kontraktor. Mungkin mereka berdepan masalah kekurangan tenaga buruh atau kesukaran membawa masuk bahan berasaskan industri (IBS) ke kawasan pedalaman.

“Bagaimanap­un, kita tidak akan memberi muka kepada kontraktor yang tidak kompeten, cuai dan malas,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan MTNG Sarawak, di Bangunan Akademi Percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kuching, di sini, semalam.

Fungsi MTNG Sarawak adalah menjamin pelaksanaa­n dasar, program dan projek kerajaan khususnya di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT), serta memastikan inisiatif semasa Kerajaan Pusat dapat diselarask­an, termasuk dipantau secara cekap dan holistik.

Sehingga kini, pembinaan Hospital Sri Aman pada tahap 37 peratus berbanding jadual asal iaitu 70 peratus membabitka­n kos RM176.27 juta; Pusat Baka Induk Udang Galah di Santubong pada tahap 84.19 peratus, berbanding jadual 100 peratus membabitka­n kos RM14 juta dan Jalan Akses ke Empangan Baleh pada tahap 51.14 peratus, berbanding jadual 77.66 peratus membabitka­n kos RM1.419 bilion.

Selain itu, Pos dan Kuarters Imigresen Ba’kelalan pada tahap 36.25 peratus, berbanding jadual asal 60.12 peratus membabitka­n kos RM20 juta; Jejak Warisan dari Kampung Sungai Bitangor ke Esplanade Kuching pada tahap 94.5 peratus berbanding jadual asal membabitka­n kos RM2.5 juta dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Semuja pada tahap 54.63 peratus, berbanding jadual 73.4 peratus membabitka­n kos RM46 juta.

Sementara itu, Baru berkata, keseluruha­nnya sejumlah RM17.25 bilion merangkumi 564 projek dan RM4.33 bilion diperuntuk­kan kepada Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKE-11).

“Di bawah Pelan Tindakan 4 (RP4) dalam RMKE-11, sebanyak RM77 juta daripada peruntukan RM4.33 bilion sudah dibelanjak­an untuk projek pembanguna­n di negeri ini.

“Sehingga 24 Februari lalu, sebanyak 81 projek berstatus dahului jadual, enam projek lewat jadual, 375 projek ikut jadual, 45 projek siap, lapan projek simpan perhatian dan 49 projek dalam pelaksanaa­n,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia