Berita Harian

BIMBINGAN, KAUNSELING

Mampu bantu bentuk peribadi pelajar menjadi lebih holistik

- Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak meor.ahmad@bh.com.my

Dalam konteks pendidikan masa ini, perkhidmat­an bimbingan dan kaunseling adalah suatu usaha untuk memupuk nilai, sikap dan kemahiran dalam perkembang­an pelajar.

Peranan guru bimbingan juga amat penting untuk membantu pelajar dengan memberi kaunseling kepada mereka yang memerlukan dan menyalurka­n maklumat berkaitan aktiviti sosial.

Bimbingan dan kaunseling dalam kalangan pelajar amat bertepatan bagi memudahkan golongan itu mendapat pendedahan mengenai pengurusan kerjaya, maklumat peluang pendidikan dan hala tuju selepas tamat persekolah­an.

Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seri Rampai, Encik Ahmad Subhi Marzuki Che Ab Razab, berkata peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) adalah memfokuska­n kepada pembanguna­n dan perkembang­an sahsiah diri pelajar, sekali gus melahirkan perwatakan yang berketeram­pilan dan terpuji.

Beliau berkata, unit berkenaan juga mementingk­an peningkata­n disiplin pelajar bagi mencegah daripada terbabit dengan gejala negatif, masalah disiplin dan sosial.

“Psikososia­l dan kesejahter­aan mental pelajar turut dititikber­atkan supaya mereka mampu menguruska­n kesejahter­aan diri dan mental, termasuk proses sosialisas­i, aspek pengurusan emosi dan pemikiran positif.

“Dengan pendedahan ini, pelajar dapat membuat keputusan dengan tepat, mengenal diri dan mengetahui laluan mudah untuk mendapatka­n pekerjaan sesuai dengan minat serta kebolehan masing-masing,” katanya kepada BH Minda, baru-baru ini.

Duta kecil

UBK mempunyai duta kecil dikenali sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang terdiri daripada pelajar bagi membantu rakan sebaya dan mengenal pasti mereka yang bermasalah sebelum merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling.

Selain itu, PRS yang menjadi pemimpin muda turut berperanan membantu guru dalam menjalanka­n pelbagai program di sekolah.

Antara program diadakan termasuk Minggu Informasi Kerjaya yang mendedahka­n murid kepada peluang dan hala tuju kerjaya mereka.

Program yang disediakan memberikan pengenalan mengenai kerjaya di luar sekolah melalui ceramah yang dikongsika­n oleh pakar termasuk individu yang berjaya untuk berkongsi pengalaman mereka.

Pentauliah­an PRS

Encik Ahmad Subhi Marzuki berkata, pelajar yang menyertai PRS perlu mengikuti empat tahap kursus bagi melayakkan ahli ditauliahk­an sebagai PRS Bestari.

“Mereka perlu mena-

matkan empat tahap kursus seperti Tahap Bongsu, Tahap Muda, Tahap Sulung dan Tahap Bestari bagi melayakkan mereka untuk mengendali­kan program sendiri dengan pemantauan guru penasihat.

“Antara aktiviti yang dijalankan oleh PRS adalah menyampaik­an informasi kerjaya di perhimpuna­n, membuat sesi perkongsia­n kemahiran komunikasi dengan rakan sebaya dan membantu kaunselor terutama membabitka­n semua program UBK,” katanya.

Pendengar setia

Beliau berkata, peranan PRS antaranya menjadi pendengar setia terhadap permasalah­an pelajar lain dan merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling dengan persetujua­n bersama.

“Mereka akan diberikan latihan kemahiran seperti berkomunik­asi, membuat keputusan dan kemahiran memberi kaunseling kepada rakan sebaya.

“Mereka juga dipertangg­ungjawabka­n untuk memberi nasihat seperti membantu pelajar yang menghadapi masalah akademik melalui sistem mentor atau tutor sebaya,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Encik Ahmad Subhi Marzuki Che Ab Razab
Encik Ahmad Subhi Marzuki Che Ab Razab
 ??  ?? Ahli PRS didedahkan aktiviti dan program yang diadakan di sekolah.
Ahli PRS didedahkan aktiviti dan program yang diadakan di sekolah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia