Berita Harian

Malaysia, Singapura perlu hingga 4 jambatan

-

Kuala Lumpur: Malaysia dan Singapura memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jambatan untuk memudahkan aliran trafik antara keduadua negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata berbanding Pulau Pinang yang kini merancang membina jambatan ketiga ke tanah besar dalam bentuk terowong, aliran trafik di Singapura adalah jauh lebih besar.

“Pada mulanya, (Pulau Pinang) menolak cadangan pembinaan jambatan yang pertama. Namun kemudian kerajaan membina jambatan yang kedua dan kini kami mahu membina terowong bagi menghubung­kan tanah besar dan pulau di negeri itu.

“Trafik di Singapura lebih besar dan sibuk berbanding Pulau Pinang, (tetapi) kita hanya mempunyai sebuah jambatan dan tambak. Kita perlu sekurang-kurangnya tiga ke empat jambatan baharu.

“Namun, untuk beberapa sebab yang saya tidak dapat faham, Singapura tidak mahu jambatan lagi,” katanya pada sesi soal jawab program Invest Malaysia 2019, semalam.

Beliau berkata, Malaysia sedang cuba membina hubungan yang lebih baik dengan Singapura dan sedang berunding untuk mencari penyelesai­an terbaik dalam isu berkenaan.

Mengenai isu perjanjian air dengan republik berkenaan, Dr Mahathir berkata, Malaysia masih boleh berunding dengan negara jiran itu kerana dalam perjanjian menjelaska­n ia boleh dirunding semula selepas 25 tahun meskipun sudah melepasi 1987.

Tidak hilang hak berunding

“Kita masih tidak hilang hak untuk berunding kerana kadar tiga sen terlalu rendah dan anda tidak boleh membeli apa-apa dengan nilai itu pada masa kini,” katanya merujuk dakwaan Singapura baru-baru ini bahawa Malaysia hilang hak untuk mengkaji semula harga air mengikut Perjanjian Air 1962 (62WA).

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia komited untuk kekal mesra ekonomi dengan rakan dagangnya, terutama dengan negara yang mempunyai hubungan paling rapat dan kukuh termasuk China dan Singapura.

Katanya, Malaysia mungkin mempunyai pandangan berbeza dengan negara lain, termasuk China dan Singapura, namun melihat kedua-duanya sebagai rakan rapat dan berharap boleh mencapai persetujua­n dalam banyak isu.

“Mereka adalah dua rakan pelabur dan dagangan utama kami. Dengan rasa saling menghormat­i, kami sentiasa mencari jalan untuk mendapat manfaat daripada kepentinga­n bersama ini,” katanya sambil menambah, sebagai negara perdaganga­n, Malaysia tidak boleh mengabaika­n pasaran besar seperti China.

“Mengimbau sorotan sejarah, saya percaya kita adalah negara paling mesra dengan China di Asia Tenggara dan ini adalah sebab mengapa kita tidak boleh mengabaika­n pasaran besar. Hubungan Malaysia dengan China adalah baik, ada beberapa masalah antara kedua-dua negara, tetapi kita menyelesai­kannya secara rasional,” katanya.

Beliau juga mengulangi pendirian bahawa Laut China Selatan yang dipertikai­kan, harus tetap terbuka untuk semua kapal termasuk kapal perang belayar melaluinya, namun tidak sepatutnya membenarka­n mana-mana kapal perang berlabuh secara tetap di manamana bahagian perairan itu kerana akan menimbulka­n provokatif kepada negara sekitar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia