Berita Harian

Kaji tubuh Mahkamah Khas Rasuah secepat mungkin

Cadangan penubuhan bolehkan kes dikendali lebih cepat

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Kerajaan akan menubuhkan Mahkamah Khas Rasuah secepat mungkin, bagi membolehka­n kes rasuah dikendalik­an dengan lebih cepat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata penubuhan mahkamah itu nanti tidak akan menjejaska­n mahkamah biasa.

“Ini cadangan baharu kerana kita perlu menentukan kes rasuah diberi masa oleh mahkamah khusus, yang tertumpu semata-mata kepada kes rasuah.

“Ia memerlukan (penggubala­n) undang-undang kerana akan mengubah ciri asas mahkamah. Jadi perlu ada kesungguha­n untuk melawan rasuah.

“Kerajaan dalam proses akhir penilaian cadangan ini dan (Mahkamah Khas Rasuah) akan diwujudkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) ke-7 di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beri keutamaan

Dr Mahathir berkata, penubuhan mahkamah khas itu juga berikutan perbicaraa­n kes rasuah sekarang dianggap perbicaraa­n biasa tanpa diberi sebarang keutamaan, sedangkan ia perkara serius kerana rakyat bertanya mengenai hukuman terhadap jenayah yang dilakukan individu tertentu.

“Jadi kita mahu mahkamah yang boleh mengadakan perbicaraa­n secepat mungkin,” katanya sambil menambah, pelantikan hakim bagi mahkamah berkenaan adalah sama dengan proses sedia ada, iaitu dilantik oleh Yang di-pertuan Agong dan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara.

Ditanya sama ada aktiviti rasuah bagi melindungi pusat urut berlaku di seluruh negara, susulan penahanan sekumpulan penjawat awam di Kuala Lumpur semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar perkara seumpama itu boleh berlaku.

“Polis dan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat untuk tindakan lanjut diambil. Siasatan perlu bagi mengesahka­n dakwaan,” katanya.

Semalam, seramai 14 individu, iaitu tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, tiga anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seorang anggota bomba, direman antara empat hingga lima hari, bagi membantu siasatan berhubung pembabitan dalam melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut di ibu negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia