Berita Harian

SPRM serius gempur ekonomi bawah tanah

-

Beberapa minggu lalu BH menyiarkan tulisan saya di Muka Sepuluh bertajuk ‘Perangi ekonomi bawah tanah habis-habisan’. Ekonomi bawah tanah yang juga dikenali sebagai ekonomi bayangan, sering kali dikaitkan dengan aktiviti jenayah, termasuk pelacuran, rumah urut, penyeludup­an senjata, rokok, dadah, perjudian haram dan secara dalam talian, pemalsuan pasport serta penyeludup­an manusia.

Sehubungan itu, pada 18 Mac lalu, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarka­n serbuan dan menahan 16 individu, termasuk tujuh penjawat awam dan sembilan orang awam selepas dipercayai terbabit melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut di sekitar Kuala Lumpur.

Dalam serbuan dilakukan oleh 40 pegawai SPRM - ketua balai polis, kakitangan Dewan Bandaraya serta pegawai bomba dan penyelamat ditahan. Adalah dianggarka­n jumlah transaksi rasuah terbabit di kawasan Kuala Lumpur sahaja adalah sekitar RM30 juta setahun.

Pun begitu, penjenayah ini tidak serik dan tidak takut ditangkap, dipenjara dan didenda. Mereka ini tamak untuk melakukan rasuah. Bagi mereka, kuasa, wang dan kemewahan hidup adalah segala-galanya yang menyebabka­n mereka terbabit dalam ekonomi bawah tanah.

Seperti diketahui, ada banyak rumah urut dan pusat refleksolo­gi di sekitar ibu kota yang menawarkan perkhidmat­an lebih daripada disyaratka­n, termasuk seks. Malah tinjauan BH di sekitar Jalan Klang Lama, Bukit Bintang, Ampang dan Sri Petaling juga mendapati rumah urut dan pusat refleksolo­gi itu tidak banyak menerima pelanggan wanita, walaupun perkhidmat­an disediakan untuk keduadua golongan berkenaan.

Ejen penguat kuasa terima rasuah

Kegiatan mereka berleluasa disebabkan ejen penguat kuasa menerima rasuah. Tindakan tidak diambil dan rahsia mereka ditutup, termasuk membiarkan mereka menjalanka­n operasi sebegini berdekatan premis agensi penguat kuasa.

Mengikut Deccan Chronicle, Malaysia berada di tangga ke-4 dalam pusat pelanconga­n seks dunia. Kata surat khabar ini, permintaan amat tinggi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.

Berdasarka­n angka tidak rasmi, dianggarka­n 150,000 pelacur berada di Malaysia dengan kira-kira 10,000 hingga 20,000 di kawasan Lembah Klang. Pelancong kini lebih memilih Malaysia dan tidak lagi ke Bangkok atau Phuket kerana pelacur sedia ada di sini, lebih baik.

Jika di Thailand, pelacur hanya terdiri daripada keturunan Thai, tetapi di Kuala Lumpur ada pelbagai warganegar­a seperti Thai, Vietnam, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Mongolia, China, Laos dan Vietnam.

Ada beberapa jenis pelacur asing di negara kita. Satu daripadany­a ialah pelacuran paksaan yang menggunaka­n bapa ayam dan berkeliara­n di kawasan Bukit Bintang, Lorong Haji Taib dan Chow Kit. Pelacur murahan melakukan operasi pelacuran di rumah kedai atau hotel murahan. Bagi pelacur warga asing, mereka menggunaka­n pas lawatan sosial masuk ke Malaysia dan memenuhi pasaran kelas atasan.

Golongan ini beroperasi di sekitar Jalan P Ramlee, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang berhampira­n hotel mewah khas untuk langganan golongan elit. Tahniah diucapkan kepada SPRM yang kuat berkerja demi menjadikan negara bersih rasuah.

Tindakan pantas SPRM, berjaya merampas dan membekukan RM2.5 bilion wang tunai sejak Jun tahun lalu. Apa yang lebih penting ialah SPRM menjalanka­n tugas secara berterusan dengan baik tanpa mengira penat lelah demi mengurangk­an kegiatan rasuah dan penyalahgu­naan kuasa. Pembongkar­an kes rasuah membabitka­n penjawat awam sepatutnya dijadikan peringatan kepada golongan itu supaya sentiasa melaksanak­an tugas dan tanggungja­wab dengan lebih berintegri­ti. Jadikan perkara ini sebagai panduan kepada semua penjawat awam untuk terus bertugas dengan lebih berdedikas­i bagi memastikan hasrat Malaysia menjadi negara bebas rasuah.

Kerjasama ketua jabatan

Apa yang penting ialah kerjasama ketua jabatan bagi memastikan organisasi masing masing tidak terbabit rasuah. Sepatutnya pegawai atasan memainkan peranan mengawasi kakitangan yang terbabit rasuah, termasuk memantau gaya hidup mewah atau terlalu rapat dengan pelanggan. Individu yang mempunyai latar belakang integriti yang lemah perlu diambil tindakan tegas untuk mengelakka­n ia merebak.

Mereka tidak wajar diletakkan di jabatan berisiko tinggi dan seharusnya tidak dinaikkan pangkat, meskipun mereka mempunyai kelayakan dan kehebatan dalam tugas masing-masing. Pastikan ketua jabatan menunjukka­n contoh baik, kekal integriti dan organisasi mendapat kepercayaa­n penuh rakyat.

Mereka bukan sahaja bersih, tetapi mesti nampak bersih. Apabila Ketua Polis Negara (IGP) baharu mengambil alih pucuk pimpinan kelak, penulis berharap kenyataan pertama keluar daripada mulut beliau kepada media adalah ingin memastikan rasuah dalam PDRM dihapuskan.

Kegiatan rasuah dalam PDRM agak merunsingk­an. Kajian Global Corruption Barometer 2017, mendapati institusi polis dilihat sebagai institusi paling rasuah. Ambil tindakan tanpa pilih bulu kepada yang mengamalka­n rasuah dan menyalahgu­nakan kuasa.

Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga dan tidak adil kepada organisasi PDRM dan kakitangan serta pegawai yang masih ramai berintegri­ti.

Ada tiga faktor penting yang akan membantu sesebuah negara itu menghapusk­an rasuah iaitu membabitka­n iltizam politik, keberkesan­an agensi penguat kuasa dan sokongan padu rakyat kepada SPRM.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia