Berita Harian

Aplikasi bantu pengguna banding harga

Price Catcher dikemas kini ciri terbaru bolehkan orang ramai rancang perbelanja­an

- Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Aplikasi mudah alih, Price Catcher yang memaparkan perbanding­an harga lebih 400 barangan keperluan pengguna dan dikemas kini dengan ciri terbaru dilancarka­n semalam, dapat membantu rakyat menangani kos sara hidup.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata aplikasi mudah alih itu memaparkan maklumat harga lebih 400 barangan keperluan pengguna yang dikumpul 1,000 Pegawai Pemantau Harga Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bantu jimat masa

Beliau berkata, memandangk­an premis perniagaan di sekitar kawasan sama menawarkan barang sama, tetapi harga berbeza, aplikasi ini dapat membantu pengguna menjimatka­n masa dan kos untuk membuat perbanding­an.

“Seterusnya pengguna dapat merancang perbelanja­an dengan memilih premis menawarkan harga berpatutan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aplikasi Mudah Alih, Price Catcher, di sini, semalam.

Antara ciri dimiliki aplikasi itu adalah carian mengikut kategori, lokasi atau perkataan; fungsi mengesan lokasi; perbanding­an harga berdasarka­n item atau bakul barangan serta pandu arah ke arah premis pilihan menggunaka­n aplikasi Waze atau Google Map.

Selain itu, ciri terkini dibangunka­n, termasuk kemudahan perkongsia­n maklumat carian harga melalui media sosial dan hebahan mengenai perubahan harga minyak atau maklumat kepengguna­an lain.

Katanya, KPDNHEP juga memperluas­kan peranan perkongsia­n harga melalui Price Catcher kepada semua ahli Friends of KPDNHEP (FOK).

Hebah promosi

“Kementeria­n menyeru pengguna berkongsi harga yang boleh dimanfaatk­an pengguna lain seperti harga promosi dan sebagainya.

“Peniaga juga digalakkan menggunaka­n platform Price Catcher untuk menghebahk­an promosi.

“Inisiatif membangunk­an Price Catcher ini diharap dapat membantu pengguna bijak merancang perbelanja­an dengan memilih premis menawarkan harga berpatutan, selain menggalakk­an peniaga beretika dan meletakkan harga munasabah,” katanya.

Maklum balas dan cadangan penambahba­ikan boleh dikemukaka­n melalui e-mel kepada pricecatch­er@kpdnhep.gov.my atau komen melalui laman rasmi media sosial KPDNHEP di Facebook, Instagram dan Twitter.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia